Sistem first-past-the-post perlu dikaji semula


Walaupun BN berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dengan memperolehi 133 dari 222 kerusi Parlimen, namun undi popular menunjukkan sebaliknya.

Jamilah Kamarudin, FMT

Sistem pilihan raya di Malaysia yang menggunakan first-past-the-post (FPTP) perlu dikaji semula kerana ia tidak  mencerminkan sokongan sebenar rakyat terhadap sesuatu parti pemerintah.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dengan memperolehi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, namun undi popular menunjukkan sebaliknya.

Mengikut data jumlah undian Pilihan Raya Umum (PRU13), seramai 5.62 juta (49.96%) pemilih berdaftar mengundi Pakatan Rakyat, sementara BN hanya mendapat 5.24 juta (46.53%) undi.

Manakala mengikut jumlah keseluruhan 505 kerusi DUN, Pakatan menerima jumlah undi 4.88 juta undi berbanding BN yang hanya mendapat 4.51 juta undi.

“Tetapi oleh kerana sistem FPTP maka Pakatan tak dapat jumlah kerusi majorti untuk bentuk kerajaan.

“Sistem ini kena dikaji semula supaya pembentukan sesuatu kerajaan dibuat berdasarkan jumlah sokongan rakyat,” katanya dalam sidang media di pejabat Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

FPTP, sistem yang digunakan sejak pilihan raya pertama pada tahun 1959 mengiktiraf calon yang menang ialah calon yang mendapat undi terbanyak (walaupun dengan kelebihan satu undi sahaja).

“Inilah masalahnya orang yang dapat 46% dapat bentuk kerajaan tapi parti yang dapat 50% tak dapat…walaupun ada pengundi hantu tapi kita masih dapat undi 50%.

“Perlu ada sistem baru yang lebih adil untuk rakyat buat keputusan,” katanya.

Azmin yang juga ahli Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) berkata, pihaknya pernah membuat beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menilai semula mekanisme yang tak relevan termasuk FPTP.

“Tetapi SPR gagal melihat cadangan yang dikemukakan PSC untuk menambah baik sistem pilihan raya kita.

“Berdasarkan sistem pilihan raya negara maju di Eropah termasuk Jerman dan UK pembentukan kerajaan melalui undi popular sudah lama diamalkan,” katanya.

 



Comments
Loading...