Azmin persoal surat Presiden PKR


Beliau mendakwa surat dihantar Wan Azizah kepada Sultan Selangor dibuat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan bersama semua ADUN parti. 

(Bernama) – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali hari ini mempersoal surat yang dihantar Presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung calon Menteri Besar.

Azmin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata surat yang dihantar Wan Azizah semalam itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan bersama oleh semua ADUN parti itu.

“Oleh itu, atas inisiatif rakan-rakan kami telah mengadakan mesyuarat melibatkan Majlis Pimpinan (PKR) Negeri Selangor petang semalam dan memutuskan beberapa nama calon yang layak untuk jawatan menteri besar dan diserahkan kepada Wan Azizah semalam.

“Saya tidak persoalkan keputusan PAS-DAP berhubung calon menteri besar, tapi saya bimbang tentang keputusan surat yang dihantar ke istana tanpa terlebih dahulu berbincang dengan Adun PKR lain, yang juga satu daripada tiga komponen dalam Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Azmin berkata, setakat ini semua ADUN PKR yang dipilih oleh rakyat belum dipanggil bagi mendapatkan pandangan mereka tentang calon menteri besar, termasuk dirinya.

Beliau juga mengakui konsensus bagi membuat sebarang keputusan dalam Pakatan Rakyat adalah baik tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku di dalam PKR.

Dalam pada itu, Azmin turut mendesak kepimpinan negeri yang bakal dipilih melakukan reformasi pentadbiran dengan menggunakan rizab bernilai RM2.6 bilion dengan bersikap responsif terhadap permasalahan rakyat seperti isu jalan berlubang, sampah yang tidak dipungut, masalah bekalan air dan banjir.

Berhubung dakwaan beliau kemaruk jawatan menteri besar, Anggota Parlimen Gombak itu berkata sekiranya beliau bersikap sedemikian, jawatan itu telah pun disandangnya sejurus pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.

Katanya jawatan itu telah ditawarkan kepada beliau oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah parti sangat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim berikutan amalan demokrasi yang melampau dalam pentadbiran negeri, namun menolaknya demi menjaga kestabilan parti.

“Saya tegaskan bahawa ini bukan isu Azmin Ali dipilih sebagai menteri besar, isunya adalah proses pemilihan calon tersebut untuk dipersembahkan kepada Sultan mestilah melalui perundingan yang telus seperti dituntut Al-Quran tetapi jelas dalam proses memilih calon menteri besar, anjuran Al-Quran ini tidak dipatuhi.

 



Comments
Loading...