Ahmad Maslan cabar pembangkang jemput SPR beri penjelasan
(Bernama) – Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) mencabar pembangkang menjemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan mereka mengenai pilihan raya umum ke-13.
Katanya langkah itu lebih baik daripada pembangkang terus menyebarkan pelbagai dakwaan dan tohmahan terhadap institusi tersebut sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai, terutama penyokong mereka.
“Kalau SPR boleh pergi ke majlis anjuran Umno, sudah tentu SPR akan pergi ke majlis yang dianjur oleh parti-parti lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan taklimat kepada ketua-ketua penerangan cawangan, bahagian dan sayap Umno, serta badan bukan kerajaan (NGO) bersama SPR, di sini hari ini.
Anggota Parlimen Pontian itu juga yakin SPR akan menjawab sebaik mungkin isu yang dibangkitkan seperti pengundi hantu dan dakwaan lampu padam pada sesi dialog tersebut, sekali gus menghentikan penyebaran fitnah yang berleluasa terhadap institusi berkenaan.
Pada masa yang sama Ahmad menyarankan SPR membawa pihak yang memfitnah mereka ke muka pengadilan.
“Tiada salahnya mereka saman mana-mana NGO atau pihak yang buat fitnah kerana segala-galanya ada bukti seperti di suratkhabar milik pembangkang atau rakaman ucapan pihak pembangkang.
“Jangan biarkan fitnah bermaharajalela sampai rakyat fikir kerajaan hari ini tidah sah. Tuduhan itu berikan nama buruk kepada SPR dan mencemarkan nama Malaysia di dalam dan luar negara,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata jentera penerangan Umno akan menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dakwaan pembangkang berkenaan.