Pengacau Utusan Malaysia akan ‘dilanggar’ – Pekida


(Utusan Malaysia) – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan akan ‘langgar’ mana-mana pihak cuba mengacau akhbar Utusan Malaysia yang lantang memperjuangkan Perlembagaan dan kepentingan Islam.

Pengerusinya, Datuk Roslan Dahaman (gambar) berkata, beliau melihat usaha sesetengah pihak termasuk DAP yang mahu mengadakan demonstrasi pada minggu hadapan di depan pejabat itu akan membangkitkan kemarahan orang Melayu.

“Rancangan sesetengah pihak termasuk kalangan Melayu dalam DAP dianggap sebagai ‘pengkhianat’ dan Pekida Wilayah Persekutuan ‘mempelawa’ mereka untuk meneruskan niat itu.

“Kita akan hadir bersama pada hari berkenaan dan mahu bersemuka dengan pihak berkenaan bagi mengetahui apa hasrat sebenar mereka untuk mengadakan demonstrasi itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas rancangan sesetengah pihak termasuk orang Melayu yang diperalatkan DAP mahu mengadakan perhimpunan bagi membantah laporan Utusan Malaysia sempena kempen dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Mereka mahu menuntut permit Utusan Malaysia digantung kerana dikatakan terlampau rasis.

Tambah Roslan, Utusan hanya menyuarakan persoalan dan pandangan terhadap perkembangan semasa yang berlaku baru-baru ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada orang Melayu dipergunakan DAP untuk mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Utusan Malaysia.

“Kita melihat akhbar Utusan Malaysia adalah sebuah institusi orang Melayu yang merupakan wadah bagi menyuarakan pandangan mereka demi menjaga Perlembagaan negara yang memberi manfaat kepada semua kaum,” katanya.

Roslan berkata, ada lagi saluran lain boleh menyuarakan bantahan mereka jika tidak berpuas hati seperti di mahkamah, bukannya melalui demonstrasi jalanan yang boleh menimbulkan kekacauan lagi.

Beliau turut hairan kenapa hanya Utusan Malaysia menjadi sasaran sedangkan ada media lain yang sebenarnya bersikap amat rasis dalam laporan mereka dan berbahaya kepada keharmonian kaum di negara ini.

Mengulas tindakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berterusan mengadakan perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13, beliau berkata, Pekida juga meminta beliau menghentikannya.

“Terima hakikat bahawa rakyat menolaknya dan sekiranya tidak berpuas hati bawa petisyen ke mahkamah. Jangan cuba menimbulkan masalah dan memperalatkan rakyat demi kepentingan sendiri untuk menjadi Perdana Menteri,” tegasnya.



Comments
Loading...