Kuasa Melayu takkan hilang sampai bila-bila


Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, perkara itu dilihat berdasarkan tiga perkara utama.

Jamilah Kamarudin, FMT

Hak keistimewaan orang Melayu dijamin takkan terhapus sampai bila-bila sekalipun DAP menjadi kuasa terbesar memerintah di peringkat Pusat.

Ahli Parlimen DAP-Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, perkara itu dilihat berdasarkan tiga perkara utama.

Pertama, dari segi demografik menunjukkan komposisi masyarakat Melayu adalah majoriti di Malaysia dan semakin berkembang, namun tidak bagi masyarakat Cina yang semakin mengecil.

Keduanya, menurut Zairil hak kaum Melayu dilindungi oleh undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

“Selain itu ada kuasa Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung bagi memastikan hak keistimewaan Melayu terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi panel forum Wacana Sinar Harian Siri 20: Pasca PRU 13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di Kompleks Karangkraf di sini semalam.

Perlu optimis

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah menolak dakwaan wujudnya fenomena ‘tsunami’ pengundi masyarakat Cina semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 5 Mei lalu seperti yang digambarkan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, beliau menegaskan BN perlu optimis dan menerima perubahan tersebut, bukannya bersikap tuding jari serta cuba meniupkan api perkauman.

“BN perlu minta maaf atas kesilapan masa lalu dan (berjanji) tidak akan ulangi kesilapan.

“Kemudian baru boleh mulakan kehadapan dengan cara urus tadbir baru, dan perlakuan itu harus bentuknya baru,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, untuk kekal relevan Umno mesti terus melakukan transformasi bagi menjamin kelangsungan bangsa Melayu.

“Kalau tidak semasa PRU nanti Umno akan kalah lagi teruk,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...