Sistem ‘pecah dan perintah’ yang hampir-hampir terkubur


http://www.loyarburok.com/wp-content/uploads/2012/06/rakyet.gif 

Dasar perjuangan mereka bersifat sejagat – menegakkan keadilan, kebebasan bersuara, menentang kezaliman dan menyokong usaha meningkatkan kualiti kehidupan. Mereka tidak berhajat mengambil alih tampuk kepimpinan negara atau ingin menjadikan negara ini, negara komunis. Besar kemungkinan, falsafah komunisme itu pun mereka tidak tahu.  

A. Faizal Rahman 

‘Tsunami Cina’ dan tindak balas susulan

Kemerosotan sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 amatlah ketara. Di bandar-bandar besar, sokongan mereka merosot serendah 10%. Akibatnya, walaupun berjaya mengekalkan kuasa di peringkat pusat, prestasi BN kali ini lebih teruk dari prestasi terburuknya sebelum ini (2008). Jika pencapaian buruk PRU-12 dijelaskan dengan ‘tsunami politik’, kemerosotan pencapaian BN PRU-13 dikaitkan dengan ‘tsunami Cina’.

Biarpun ungkapan ‘tsunami Cina’ benar dari segi statistik, olahan media perdana bersifat reaktif dan emosional. Ungkapan tersebut diolah bagi meluahkan rasa kecewa kepimpinan BN terhadap kaum Cina. Artikel-artikel akhbar  seperti , ‘Apa lagi Cina mahu?‘, dan komentari-komentari PRU-13 di television – semuanya menuding jari kepada kaum Cina, seolah-olah kaum cina adalah punca kemerosotan sokongan rakyat kepada BN

Selaku kerajaan, tindakan menyalahkan segmen masyarakat yang tidak memberikan kemenangan yang diingini, menonjolkan ketidak-matangan kepimpinan (apatah lagi jika disusuli dengan penindasan seperti yang dilakukan kepada rakyat Kelantan selama ini). Ia juga menyerlahkan hipokrasi slogan 1Malaysia. Adakah polisi ‘segalanya’ 1Malaysia itu hanya untuk meraih undi? Dan, tidakkah ia hipokrit apabila undi yang diraih tidak ’1Malaysia’, semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan hilang entah ke mana?

Pengolahan ungkapan ‘tsunami Cina’ juga bersifat provokatif. Ia membakar sentimen perkauman; menakut-nakutkan masyarakat Cina dan menaikkan kemarahan masyarakat Melayu. Bukankah ini tindakan provokasi yang mengancam ketenteraman awam? Bukankah kerajaan BN dahulu yang memberi jaminan keamaan semasa dan selepas proses pilihanraya?

Pelik jika diteliti perilaku pemimpin-pemimpun BN. Sikap mereka dilihat sama-sekali tidak konsisten, sebelum dan selepas PRU. Puncanya – tidak lain, tidak bukan, hanyalah kerana sistem ‘pecah dan perintah’ tinggalan penjajah yang diwarisi dan diguna pakai kerajaan selama ini, hampir-hampir digagalkan pada PRU-13.

Persepsi salah mengenai aktivisme Cina

Penulis berpeluang berkerjasama dengan aktivis-aktivis Cina sepanjang tempoh kempen PRU-13. Apa yang penulis saksikan, pergerakan aktivisme Cina ini cukup berbeza dari persepsi orang Melayu terhadap mereka.

Dari sudut demografi, aktivis-aktivis Cina ini adalah dari golongan pertengahan dan majoritinya dari golongan muda. Mereka terdiri dari pemilik perniagaan kecil seperti pengusaha kedai komputer dan butik pakaian, dan juga mahasiswa. Mereka adalah golongan majoriti Cina yang rata-rata berfikiran sederhana dan tradisional. Mereka bertutur dalam bahasa Cina sesama sendiri, tetapi memilih untuk menggunakan bahasa Melayu apabila bergaul dengan orang Melayu.

Mereka bukanlah tauke-tauke kapitalis yang licik menipu orang Melayu. Perlakuan dan karakter mereka tidak ubah seperti mana-mana kelas pertengahan; tidak kiralah orang Melayu, atau orang putih, mahupun orang Afrika – ‘simple-minded’, rajin bekerja dan suka berjenaka. Walaupun penguasaan bahasa Melayu mereka ditahap memalukan (selaku rakyat Malaysia), usaha bertutur dalam bahasa Melayu, lebih-lebih lagi golongan muda, boleh diberi pujian.

Read more at: http://secebiswaras.wordpress.com/2013/05/09/sistem-pecah-dan-perintah-yang-hampir-hampir-terkubur/ 



Comments
Loading...