Suara Keadilan turut dirampas


(Harakah Daily) – Selepas Harakah, kini akhbar lidah rasmi parti Keadilan Rakyat Suara Keadilan juga dilaporkan dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di beberapa buah negeri sejak semalam.

Menurut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail ribuan naskah akhbar Suara Keadilan telah dirampas dari kedai-kedai pembekal dan pengedar di seluruh negara.

Dalam tempoh 24 jam mulai semalam, katanya pegawai-pegawai KDN,  telah bertindak merampas dan mengancam untuk menangkap pembekal dan pengedar akhbar Suara Keadilan di beberapa tempat.

Katanya, di Ipoh Perak malam tadi, tujuh orang pegawai KDN telah menyerbu premis salah seorang pembekal Suara Keadilan dan merampas 214 naskah akhbar tersebut.

Jelasnya, pegawai-pegawai tersebut bagaimanapun enggan memberi sebarang bukti surat kuasa rampasan.

“Di Melaka pula, pada jam 10 pagi hari ini 70 naskah Suara KEADILAN telah dirampas dari seorang pengedar yang menurut beliau, pegawai-pegawai KDN hanya memberi alasan bahawa ia telah menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Tambahnya, kejadian yang sama juga telah berlaku hari ini di Johor Bahru, Johor, Seremban, Bangi dan juga di Kota Bharu, Kelantan.

“Kita menjangkakan bahawa tindakan kasar, zalim dan sangat tidak demokratik ini akan berterusan, seperti yang dilihat dalam penangkapan beberapa tokoh dan aktivis pembangkang seperti  Nik Nazmi Nik Ahmad, Adam Adli, Tian Chua, Haris Ibrahim dan  Tamrin Ghafar dan 18 orang aktivis lain yang menunjukkan sokongan kepada  Adam Adli,” katanya.

PKR mengecam tindakan rampasan akhbar Suara Keadilan yang jelas melihat ia sebagai satu lagi pembuktian bahawa kerajaan Umno BN terus-terusan mahu memperbodoh rakyat Malaysia dengan cubaan menyorokkan berita dan laporan alternatif dari rakyat yang sebenarnya mampu menilai dengan bebas tentang perkembangan politik negara.

Malah, tegas Saifuddin rampasan akhbar Suara Keadilan ini bermotifkan politik dendam serta cubaan menyekat penyebaran maklumat terutama mengenai penipuan pilihanraya.

“Tindakan ini juga jelas membayangkan ketakutan kerajaan Umno BN sendiri kerana mereka memperolehi kuasa hanya berdasarkan mandat minoriti dan kerana itu terpaksa mengunakan kaedah tidak demokratik untuk mengekalkan kekuasaan,” katanya.

 



Comments
Loading...