10 Exco Selangor selesai angkat sumpah


Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji berlangsung penuh istiadat di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah bermula 9.30 pagi tadi. 

Jamilah Kamarudin, FMT

10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor hari ini selesai angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi penggal 2013-2018.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan berlangsung penuh istiadat dihadapan Sultan

Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini bermula pukul 9.30 pagi tadi.

Adun Chempaka Iskandar Samad mendahului upacara angkat sumpah, diikuti Dr Halimah Ali (Selat Klang), Dr Ahmad Yunus Hairi

(Sijangkang), Sallehen Mukhyi (Sabak), Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan).

Kemudiannya giliran Adun Kota Alam Shah V Ganabatirau, Rodziah Ismail (Batu Tiga), Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan), diakhiri dengan Dr Daroyah Alwi (Sementa).

Sambil memegang Lembing Sembuana, 10 Adun terbabit melafazkan sumpah jawatan dan 10 ikrar aku janji dihadapan Sultan Sharafuddin.

Berikut 10 akujanji dilafazkan :

1. Memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara

2. Memelihara dan melindungi kesucian dan keagungan agama Islam sebagai Agama Negeri dan kepercayaan orang Islam dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Pada masa yang sama menghormati hak agama lain diamalkan oleh orang bukan beragama Islam.

3. Memelihara kedaulatan institusi raja dan mempertahankannya dari dicemari dan dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

4. Mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dari semasa ke semasa termasuk adab dan tatatertib semasa berada di Istana dan ketika istiadat rasmi istana dilangsungkan.

5. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama kepentingan sah kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

6. Melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas.

7. Mendahulukan rakyat selagi mana ia tidak menjejaskan kepentingan, kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri.

8. Memastikan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri di tahap yang tertinggi dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

9. Memelihara jawatan yang dipegang dari dicemari dengan pelakuan-pelakuan yang menyalahi undang-undang; dan

10. Memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah, tolak ansur dan kerjasama antara kaum, demi menjamin kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri Selangor.

Mereka kemudiannya menandatangani surat cara pelantikan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan kemudiannya mendapat perkenan Sultan.

Turut hadir menyaksikan upacara adalah kerabat diraja, pembesar istana, serta pegawai tinggi kerajaan negeri.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...