Hannah Yeoh wanita pertama dilantik Speaker


Selain beliau, empat ADUN yang dilantik sebagai Exco dalam DUN Selangor adalah wanita. 

(FMT) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan, 34, muncul sebagai wanita pertama di negara ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

ADUN dari DAP itu dilantik Speaker pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini pagi tadi.

Sejurus selepas pelantikan itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam tweetnya mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh sebagai wanita

pertama mencipta sejarah dilantik Speaker dalam tempoh 56 tahun kronologi sejarah politik Malaysia.

Hannah Yeoh menggantikan bekas Speaker Datuk Teng Chan Khim yang kini dilantik sebagai Exco. Teng, ADUN Sungai Pinang kini ditugaskan memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Selain itu, tiga Exco dari PKR yang dilantik pagi ini kesemuanya adalah wanita dan seorang Exco wanita dari PAS.

Ketiga-ketiga Exco dari PKR itu ialah bekas Exco Rodziah Ismail (Batu Tiga), bekas Exco Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan) dan Dr Daroyah Alwi (Sementa) manakala Exco tunggal dari PAS ialah Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Rodziah, diberi portfolio Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita; Elizabeth Wong diberi bidang tugas Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar manakala Dr Daroyah memegang portfolio Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sementara Dr Halimah, juga Exco penggal lalu mengekalkan portfolionya dalam bidang Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan.

 



Comments
Loading...