Blackout: PDRM akan minta bantuan tentera jika perlu


(Agenda Daily) – Polis akan meminta bantuan tentera jika keadaan memerlukan dalam menangani pelbagai perkara yang mungkin timbul andai pembangkang meneruskan perhimpunan mereka di ibu negara Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah perlu bagi menghadapi perhimpunan yang dijangka diadakan di Padang Merbok itu.

“Setakat ini PDRM masih lagi mampu untuk kekalkan keamanan (negara). Kami sentiasa berhubung dengan tentera dan sekiranya perlu tentera akan diminta turun membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Tamat Latihan Asas Konstabel Orang Asli PDRM di Ipoh hari ini.

Sebanyak 111 anggota menerima sijil tamat latihan yang berlangsung selama empat bulan itu.

Mengulas lanjut, Salleh menasihati orang ramai agar menjauhi perhimpunan itu yang jika diadakan adalah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

 



Comments
Loading...