PAS pertahan kepimpinan ulama


Ulama lebih dekati Islam, memahami Islam dan tahu selok-belok Islam, kata Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS. 

(FMT) – Majlis Syura Ulama PAS akan memastikan kepimpinan ulama akan terus dipertahankan bagi meneruskan kelangsungan presiden dari kalangan tokoh agama.

Setiausahanya Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata pandangan sesetengah pihak yang mendakwa masa depan PAS akan lebih cerah jika diterajui naib presidennya Datuk Husam Musa tiada asas yang kukuh.

Ini kerana tegas Nik Zawawi, perjuangan PAS tidak mementingkan individu dan sokongan rakyat kepada parti atas dasar yang diperjuangkan.

“Perjuangan kita dalam PAS meletakkan parti Islam bukan kepentingan individu, bermaksud kita perjuangkan Islam.

“PAS berteraskan kepada kepimpinan ulama dan sokongan diberikan kerana ulama ialah individu yang dekati Islam, memahami Islam dan tahu selok-belok Islam,” katanya dipetik dari blog UtaraNews hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berpendapat masa depan PAS akan lebih cerah sekiranya dipimpin oleh Husam.

Ini kerana, kata beliau, majoriti penyokong PAS sekarang terdiri daripada golongan muda dan berdasarkan pemerhatian beliau, Husam adalah pemimpin paling digemari oleh golongan itu.

Menurut Zaid yang juga pernah bersama PKR dan Pakatan Rakyat, PAS kini yang dipimpin oleh golongan ‘veteran’ perlu melakukan pendekatan berbeza sekiranya mahu menarik minat penyokong majoritinya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...