Hak ahli PAS, setakat mana diraikan


http://www.mole.my/sites/default/files/images/mole-PAS-3.jpg 

Ini bukan cara sebuah parti yang berteraskan Islam. Ini juga bukan cara sebuah parti yang demokratik. Tentu ini berlawanan dengan perlembagaan parti itu sendiri.

Zaid Ibrahim 

Saya merujuk kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang menolak pandangan saya bahawa Husam Musa adalah pemimpin yang sesuai menerajui parti PAS sebagai Presiden pada masa depan. Beliau mengambil pendekatan bahawa PAS perlu dipimpin oleh seorang ulama kerana hanya kepimpinan ulama sahajalah yang boleh menjaga kepentingan parti yang berteraskan perjuangan Islam.

Saya bersetuju bahawa seseorang pemimpin PAS itu mestilah seorang ulama. Saya juga berpendapat semua ahli PAS itu adalah `ulama’ dalam konteks erti ulama yang lebih luas.

Mereka ini semua mahukan politik negara ditadbir dengan berteraskan prinsip agama suci kita, Islam. Semua ahli PAS memperjuangkan Islam. Sebab itu mereka masuk PAS. Bila seseorang itu layak menjadi ahli dalam parti tersebut maka dia sudah diterima sebagai seorang `ulama’. Sekali gus semua ahli PAS layak menawarkan diri sebagai pemimpin parti tersebut.

Hak ahli untuk memilih dan dipilih, mengundi dan diundi, ada dalam Perlembagaan PAS itu sendiri. Bukankah kesamarataan hak ahli merupakan syarat utama yang perlu kita akur sebelum sesebuah parti politik itu diluluskan pendaftarannya  oleh Pendaftar Pertubuhan?

Ini yang berlaku sekarang. PAS adalah sebuah parti yang mempunyai berbagai lapisan pemimpin. Majlis Syura Ulamanya dipimpin oleh seorang Mursyidul Am, dan Jawatankuasa Kerja Pusat dan Jawatankuasa Harian Pusat dipengerusikan oleh Presiden.

Bolehlah dikatakan semua pemimpin dan pucuk pimpinan ini seperti Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan mahukan pentadbiran negara yang berasaskan Islam. Begitu juga dengan Husam Musa. Kalaulah mereka ini semua dianggap bukan ulama, masakan mereka boleh jadi pemimpin parti.

Husam Musa telah pun dipilih sebagai Naib Presiden, sepertilah juga Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Barangkali pakaian dan janggut mereka sahaja yang tidak sama dengan golongan ulama lain dan mungkin kelulusan akademik atau profesional mereka lain daripada Harun Taib dan Nik Amar Nik Abdullah. Tetapi mereka  tidak kurang kesesuaiannya sebagai pemimpin.

Alangkan anehnya parti PAS ini sekiranya seseorang itu, seperti kawan lama saya Mat Sabu, hanya layak memegang jawatan Timbalan Presiden (dan tidak digelar `ulama’) tetapi tidak layak memegang jawatan Presiden.

Kalaulah ini caranya parti memilih pemimpin maka ia bukan sebuah parti yang boleh maju kerana hak setiap ahli PAS itu seolah-olah ada`hadnya’, iaitu ke tahap mana dia dilayakkan atau dibolehkan memimpin. Had atau jawatan paling tinggi itu pula ditentukan oleh kumpulan lain dalam parti, bukan oleh ahli-ahli secara keseluruhannya.

Read more at: http://zaiduntukrakyat.com/index.php?mact=News,cntnt01,detail,0&cntnt01articleid=392&cntnt01origid=15&cntnt01returnid=80 



Comments
Loading...