Putera Mahkota Baru Dunia Niaga


Eswaran: Daripada pekerja kepada tauke

A Kadir Jasin

TIDAK sampai dua bulan selepas Barisan Nasional menang tipis dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei, seorang lagi putera mahkota sektor korporat dinobatkan.

Bukan alang kepalang nobatnya. Pada 1 Jun dia dijadikan Tan Sri dan pada 8 Jun dia muncul sebagai taikun baru dunia penyiaran Malaysia.
Mohd Najib dan Eswaran di majlis pelancaran ABNxcess
 
Dia tidak akan menjadi Tan Sri tanpa persetujuan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, yang pada 8 Jun melancarkan saluran televisyen kabel digital bernama ABNxcess dengan mengisytiharkan yang ia akan membantu menyempitkan jurang digital antara masyarakat Malaysia.
Dengan lesen yang diberikan oleh Suruhanjaya Multimedia dan Telekomunikasi itu, ABNxcess berpotensi melancarkan sehingga 500 saluran TV kabel digital – mengatasi berkali-kali ganda apa yang kini ditawarkan oleh Astro milik T. Ananda Krishnan dan HyppTv milik Telekom Malaysia Berhad (TM). 

Daripada Pemandu Kepada Tuan

Orang istimewa itu adalah K.K. Eswaran yang sehingga baru-baru ini lebih dikenali umum oleh kalangan korporat dan politik sebagai Kenneth Eswaran.
 
Tidak banyak orang di luar dunia korporat dan politik kenal Eswaran. Tetapi sesiapa saja yang mengenali isi rumah Mohd Najib dari dekat pasti tidak akan terlepas pandang siapa Eswaran. Keakrabannya dengan Mohd Najib dan isterinya, Rosmah Mansor adalah luar biasa dan bukan rahsia lagi.
Dalam masa yang singkat dia naik dalam dunia perniagaan dan dipilih menjadi Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia. Dia adalah antara pelopor pekan “Little India” di Brickfields, Kuala Lumpur.
Sesiapa saja yang kenal dan menyaksikan transformasi Eswaran sejak pembunuhan kejam majikannya, Francis Clement D’cruz di Johor Baru pada tahun 2003, tentu takjub dan teruja.
Apa yang dia lakukan selepas pembunuhan bosnya bolehlah ditakrifkan sebagai “memangku” aset korporat dan peribadi yang ditinggalkan oleh mendiang D’Cruz.
Seorang peniaga dari India, yang berupa rakan kongsi D’cruz, disyaki melakukan pembunuhan itu dan tidak pernah ditangkap.
Tetapi Eswaran tidak muncul dalam radar perniagaan dan politik Malaysia sehinggalah dia menjadi sangat akrab dan sering menjadi tetamu isi rumah Mohd Najib dan Rosmah.
(Saya membilang beliau sebagai antara penyokong Mohd Najib yang hadir di rumahnya di Pekan pada hari penamaan calon PRU 2008).

 

 
 


Comments
Loading...