Kalau main politik dengan orang asing, sememang buruk padahnya


Aspan Alias

Jusuff Kalla, mantan Naib Presiden Indonesia telah di kritik keras oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Malaysia.

Pengerusi DAP itu telah membidas Jusuff kerana membocorkan isi kandungan perbincangan sulit diantara Anwar dan PM Najib dan menuduh Anwar tidak memenuhi perjanjian diantara kedua-dua pemimpin negara itu. Anwar telah dikatakan mendapat bantuan syarikat besar dari Filipina, Amerika Syarikat, Turkey dan juga Thailand untuk membiayai ralli ‘blackout 505’ yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Rakyat baru-baru ini.
Kenyataan Jusuff itu telah menjejaskan kredibiliti Anwar dan seterusnya menjejaskan kredibiliti Pakatan Rakyat sekali gus. Karpal mendesak Jusuff Kalla untuk memohon maaf kepada Anwar secara terbuka. Karpal berkata Anwar tidak sepatutnya percaya kepada Jusuff kerana tindakan Jusuff itu memberikan impak negatif kepada gerakan pembangkang dinegara ini. “Jusuf ternyata mempunyai agenda beliau sendiri” kata Karpal.
Saya tidak mahu memberikan komen tentang samada Jusuff patut meminta maaf diatas tindakan beliau membocorkan semua perundingan sulit Anwar dengan siapa dan dimana perundingan itu dibuat. Bagi saya seseorang pemimpin negara ini tidak kira Anwar atau pun sesiapa, melibatkan pemimpin asing untuk politik sendiri di negara sendiri itu adalah satu tindakan yang tidak bermoral.
Inilah padahnya jika keghairahan kita untuk menjadi orang penting negara membawa orang atau pemimpin asing untuk terlibat sama. Tindakan Jusuff membocorkan rundingan rahsia Anwar dengan Najib dan membocorkan cerita bantuan kewangan yang Anwar perolehi dari luar negara itu mungkin tidak beretika.
Tetapi tindakan pemimpin negara menggunakan pihak luar untuk membantu politiknya sudah cukup untuk meyakinkan rakyat yang Anwar mampu diperguna oleh kuasa asing. Mendedahkan diri dengan bantuan politik dari luar ini akhirnya seorang pemimpin itu menjadi pemimpin ‘puppet’ kuasa asing.
Itu sebabnya sekarang sudah tidak ada lagi ‘freedom fighters’ di dunia ini kerana Amerika Syarikat dan kuasa asing yang lain telah mencorakkan politik banyak negara didunia ini. Kuasa asing telah mengadu-domba rakyat sesebuah negara dan kenyataan ini boleh kita lihat berlaku dinegara-negara Timur Tengah beberapa ketika dahulu dan disetengah negara itu masih berlaku.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...