Bank Muamalat Upah Aktivis Hak Asasi Manusia Hentam NUBE?


https://encrypted-tbn1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcQaAxCRfFjwz5OJ8K7rStxVCrDF9NmtmvID5ibTjYNSqDIGPAq5fQ 

Dalam dunia hari ini, kerana wang, segala-galanya boleh berubah sekelip mata. 

Abdul Jamil Jalaludeen 

“Rakyat Palestin adalah pengganas, bukannya pejuang!”

Tidak mustahil wujudnya pendirian seperti ini terhadap rakyat Palestin oleh orang-orang yang sentiasa tidak bersetuju dengan kaedah segolongan rakyat yang berjuang mempertahankan hak dan menentang penindasan terhadap golongan bawahan. Bagi orang-orang ini, golongan pejuang sering dilihat sebagai pengganas dan pemberontak sehingga mereka sendiri terlupa bahawa merekalah yang menciptakan fenomena ini.

Memang benarlah bahawa golongan kapitalis telah berjaya mengaburi mata dunia sehinggakan sebahagian golongan profesional dan berpendidikan tinggi pun telah buta untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Mereka diajar untuk menetapkan keputusan sebelum melakukan kajian; bukannya kajian yang menentukan keputusan. Mereka diminta hanya melihat dengan mata; bukan disertakan akal, hati dan pancaindera yang lima. Mereka dilatih untuk berperang tanpa perlu mengenali siapa musuh yang ingin diserang. Tanpa disedari, akhirnya mereka terjerat sendiri.

Dalam dunia hari ini, kerana wang, segala-galanya boleh berubah sekelip mata. Seolah-olah dunia sudah terbalik apabila aktivis hak asasi manusia sendiri mengambil pendirian untuk menghentam sebuah pertubuhan yang membela hak-hak pekerja dan asasi manusia. Mereka terperangkap dalam ‘game’ yang dimainkan golongan kapitalis. Hanya mereka yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam perjuangan sahaja akan terselamat dari perangkap ini.

Maka tidak hairanlah apabila Shaharul Anwar Shafie, seorang aktivis hak asasi manusia, pengasas sebuah media alternatif di internet dan perunding konsultan dalam bidang pengurusan strategik dan pembangunan sumber manusia mula mendedahkan wajah sebenar beliau sekaligus memaparkan kepincangan kredibilitinya kepada umum.

Kecelaruan pemikiran dan pendirian beliau boleh dibaca seterusnya dianalisa melalui sebuah entri di laman web KL-Today.com dan Malaysian Insider pada 1 Julai 2013 bertajuk “Rasis: Kali ini J. Solomon (NUBE) sedikit melampau – Shaharul Shafie”.

Bukan sahaja ada sesuatu yang tidak difahami dan tidak dikaji secara mendalam oleh Shaharul malah beliau mungkin diberikan maklumat yang salah, tidak tepat atau kabur demi menutup kepincangan pihak yang memintanya menghentam NUBE. Antaranya;

1.        NUBE adalah sebuah kesatuan sekerja yang mewakili HANYA golongan pekerja perkeranian dan bukan perkeranian di bank-bank perdagangan. NUBE hanya berbicara dalam skopnya sahaja. Jadi, statistik yang telah diberikan NUBE berhubung jumlah pekerja kaum India di BMMB bagi Wilayah Utara hanya berdasarkan kategori pekerja perkeranian, bukannya termasuk pegawai dan pengurusan. Justeru itu, fakta NUBE kekal tepat dan relevan. 

 

Shaharul hanya melihat dengan sebelah mata apabila menuduh NUBE bersikap rasis berhubung isu ini sedangkan sikap rasis itu sebenarnya telah dimulakan oleh BMMB sendiri.

2.        Kenyataan Shaharul yang mendakwa bahawa pekerja yang dipecat itu tidak menghadiri Kursus AML/CFT dan Shariah sejak tahun 2011 adalah SALAH. Kandungan Surat Pemecatan daripada bank sendiri bertarikh 7 Jun 2013 mengesahkan bahawa mangsa ada menghadiri kursus yang sama pada 19 November 2011. 

 

3.        Tahukah Shaharul bahawa Kursus AML/CFT dan Shariah hanya perlu dihadiri pekerja sekali dalam setahun? Nama mangsa sebagai peserta telah dimasukkan dalam kursus sama yang dibuat kemudiannya pada 22 Jun 2013. Bagaimana pula beliau boleh dipecat lebih awal iaitu pada 7 Jun 2013 tanpa memberikan peluang ke-2 untuk hadir bagi tahun 2013 dalam sesi kursus seterusnya?

4.        Tahukah Shaharul bahawa pemecatan dibuat dengan melanggar prosedur rundingan penyelesaian pertikaian yang diperuntukkan dalam Perjanjian Kolektif, tidak diberikan surat amaran dan tidak menjalani prosedur siasatan dalaman? 

 

Terdapat juga beberapa persoalan yang ingin ditimbulkan dan keraguan yang wujud berhubung entri berat sebelah tersebut. Antaranya;

1.        Shaharul menafikan dirinya mewakili Bank Muamalat (BMMB) tetapi keseluruhan entrinya mencerminkan suara seorang majikan. Lagipun, terdapat maklumat sulit yang didedahkannya berhubung pekerja yang dipecat di BMMB. Bagaimana dokumen sulit pekerja boleh jatuh ke tangan awam? Adakah BMMB mengupah beliau dengan dibekalkan dokumen sulit untuk melakukan ‘counter-attack’ terhadap NUBE?

2.        Shaharul mendakwa Bro J Solomon gagal mendapatkan fakta sebenar berhubung pekerja yang dipecat. Adakah Shaharul sendiri ada menghubungi NUBE atau menemui Setiausaha Agung NUBE untuk mendapatkan atau mengesahkan fakta sebenar? Adakah entri beliau boleh dianggap adil, bertanggungjawab dan tidak memihak sedangkan Shaharul yang akan menamatkan pengajian dalam bidang PhD pun tidak melakukan siasatan dan kajian secara menyeluruh? 

 

3.        Shaharul menuduh NUBE lebih banyak ‘berperang’ dengan pihak dalam industri perbankan. Siapa yang terlebih dahulu membuat ‘serangan’ apabila pihak majikan sengaja melanggar peruntukan Perjanjian Kolektif (C.A.), mengelak untuk berunding, memecat secara salah, menganaktirikan pekerja-pekerja perkeranian dan bukan perkeranian dan menyokong kewujudan ‘contractor for labour’? Jadi, siapa sebenarnya yang menunjukkan sikap ‘permusuhan’? Wajarkah sebuah kesatuan sekerja yang bertindak mempertahankan hak-hak pekerja ahli-ahlinya dituduh sebagai ‘menyerang’? 

 

4.        Shaharul menyarankan agar rundingan dibuat bersama pihak pengurusan bank. Tahukah Shaharul bahawa istilah ‘rundingan bersama kesatuan sekerja’ sudah tidak wujud lagi dalam kamus pihak bank? Jika tidak, mengapa pekerja BMMB boleh sewenang-wenangnya dipecat? Mengapa pula rundingan untuk C.A. yang baru menemui jalan buntu sehingga kini? Rundingan yang sebenar berlaku sebelum pemecatan, bukannya dibuat selepas itu. Pihak NUBE pula mengetahui pemecatan dibuat hanya apabila pekerja tersebut menerima Surat Pemecatan.

5.        Shaharul cuba mengaitkan NUBE dengan pembangkang? Apabila ada kata-kata dan tindakan berbaur pembangkang, dikatakannya pro-pembangkang. Apabila sebaliknya pula, dikaitkannya sebagai penyokong kerajaan. Sampai bila Shaharul harus mewarisi pemikiran sebegini? Di mana pula ruang bagi mereka yang memperjuangkan “yang benar tetap benar, yang salah tetap salah”? Mereka ini pula dikatakan pro apa? Di mana pula ruang bagi mereka yang ingin menegur dan menuntut hak setelah segala saluran teguran dan rundingan ditutup rapat dan dikunci?

Adakah Shaharul sendiri terlupa bahawa Shaharul turut memperjuangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pendidikan percuma, kebebasan media dan hak bersuara yang dijuarai pembangkang? Beranikah Shaharul menafikan kesemua penglibatan ini?

Pada September 2011, Shaharul pernah menuntut Pejabat Peguam Negara menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 500, Kanun Keseksaan ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berhubung peristiwa bersejarah Bukit Kepong. Siapa sebenarnya yang lebih jelas dilihat menyokong pembangkang? 

 

6.        Bagaimana Shaharul boleh dilantik sebagai Ketua Bahagian Asia Tenggara merangkap Wakil Malaysia bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai hak asasi manusia dan kebebasan media, Armed for the Quill (AFTQ)? Sedangkan pendiriannya jelas menyokong kes pemecatan seorang pekerja yang dilakukan secara tidak adil dan tidak menuruti ‘Standard Operating Procedure (SOP)’.

Shaharul sendiri pada 23 Oktober 2011 pernah menyatakan bahawa amat penting bagi kerajaan Malaysia untuk membersihkan imej amalan demokrasi di negara ini yang dilihat sebagai membelakangkan hak asasi manusia. Adakah apabila seorang majikan mengenepikan hak asasi manusia dalam layanannya terhadap pekerja, maka Shaharul pula terus membutakan mata, memekakkan telinga dan membisukan mulut?

7.        Bagaimana Shaharul sebagai seorang pengasas kepada sebuah media alternatif di internet boleh melanggar Etika Kewartawanan Malaysia yang terkandung dalam prinsip-prinsip utamanya? Antaranya Prinsip Ke-6 menyebut, “Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun;” Jika prinsip ini boleh dilanggar, maka kejujuran, keikhlasan dan sikap objektif yang ada pada wartawan seperti ini seharusnya boleh diragui.

8.        Shaharul terus membuat rumusan keseluruhan berhubung kaedah dan sebab NUBE bertindak sedangkan beliau hanya mengikuti perkembangan NUBE kira-kira sedekad (hanya 10 tahun) kebelakangan ini. Adakah dalam tempoh ini, beliau turut mengikuti perkembangan bank-bank, polisi-polisi yang dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) dan dasar-dasar negara berkaitan ekonomi dan pembangunan modal insan bukan sahaja dalam tempoh itu malah sejak tahun 1990-an lagi. Bukankah kesemuanya itu juga mempunyai kaitan dan memberi kesan terhadap NUBE? Jadi, adil ke rumusan yang dibuat beliau?

Tidak keterlaluan jika dikatakan kehadiran Shaharul di tengah-tengah masyarakat yang sering ditindas, dieksploitasi dan diperhambakan amat berbahaya kepada pembangunan budaya dan pemikiran masyarakat. Dengan ijazah yang ada, penglibatannya di pentas dunia, sikap ‘split personality’ yang dimilikinya dan penyamaran yang dilakukannya; beliau mampu meyakinkan seterusnya menyesatkan pemikiran masyarakat hanya dengan mengajar mereka berfikir sebagaimana seorang kapitalis berfikir.

BMMB mengupah seorang professional, strategis dan berpendidikan tinggi untuk melakukan psy war dan ‘counter-attack’ terhadap NUBE. Sedangkan NUBE kekal dengan hanya mengunakan ahlinya yang berkelulusan rendah dan bekerja sebagai kerani sahaja untuk menjawab kembali.

Abdul Jamil Jalaludeen

Deputy President
N U B E


Comments
Loading...