‘Mengapa pasangan hina Ramadan dibebaskan’
Apakah kita takut bertindak kerana ingin menjaga perasaan orang lain sedangkan maruah agama Islam dihina sebegitu, kata Datuk Syed Ali Alhabshee.
(FMT) – Umno Cheras mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan terhadap paasangan bukan Islam yang mempersenda Ramadan.
Apakah kita takut bertindak kerana ingin menjaga perasaan orang lain sedangkan maruah agama Islam dihina sebegitu, kata ketuanya Datuk Syed Ali Alhabshee.
Katanya, jika pihak berkuasa agama dan termasuk mereka yang bertanggungjawab dalam undang-undang tidak bertegas dalam perkara ini, akhirnya ‘kepala umat Islam’ di negara ini akan terus dipijak oleh bukan Islam.
Beliau menambah aruah umat Islam di negara ini akan berterusan berada di tahap yang paling hina jika pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee dilepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Pasangan itu mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan mengucapkan ‘selamat berbuka puasa dengan bak kut teh wangi, enak dan menyelerakan.
Menurutnya, pasangan tersebut yang sebelum ini terkenal dengan blog seks sepatutnya didakwa di mahkamah dan wajar dijatuhkan hukuman setimpal agar menjadi teladan dan peringatan kepada mereka yang sengaja mempersenda dan menghina kemuliaan agama Islam.
Katanya, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail turut menjelaskan bahawa Alvin dan Vivian boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, tetapi mengapa sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tindakan yang dibuat.
`Double standard’
Syed Ali berkata, beliau bimbang akibat daripada itu, akan menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan umat Islam bahawa penguatkuasaan undang-undang berhubung kesucian agama Islam di negara ini dilakukan tidak tegas dan ‘double standard’.