PAS sokong fatwa anti-Syiah Mukhriz, minta kembang seluruh negara


Hasbullah Awang Chik, TMI

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menyambut baik cadangan kerajaan negeri Kedah untuk mewartakan fatwa anti Syiah dan berharap kerajaan negeri yang lain juga turut melakukan tindakan serupa.

Beliau berkata, cadangan itu perlu dikembangkan di seluruh negara bagi mengekang penularan Syiah dalam negara ini.

“Tidak ada masalah, kita tengok dulu selepas ia diwartakan. Kita bukan orang Syiah dan tidak tahu Syiah ada di Malaysia,” kata Harun dipetik dari Sinar Harian Online hari ini.

Sementara itu, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata tidak ada masalah dengan cadangan itu tetapi kerajaan Kedah perlu melihat secara menyeluruh dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak.

Setiausaha Majlis Syura PAS itu menegaskan kerajaan negeri juga perlu mendengar kenyataan semua pihak supaya ia tidak bercanggah dengan akidah dan prinsip Islam.

“Isu ini (Syiah) perlu perbincangan. Kerajaan negeri jangan berat sebelah. Dalam negara yang mengamalkan al Sunnah Wal Jamaah, ada baik dan tidak baik. Syiah dilihat sudut yang tidak baik di Malaysia.

“Kerajaan negeri perlu melihat perkara ini secara global dan jangan memperbesarkan perkara yang kecil,” tegas Nik Zawawi.

Media melaporkan kerajaan Kedah akan menggazet fatwa anti Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...