PERKASA Gabung NGO Bukan Tekanan


http://www.utusan.com.my/pix/2013/0727/Utusan_Malaysia/Dalam_Negeri/dn_15.1.jpg

IBRAHIM Ali (tengah) bersama Andy Choy Chee Wau (dua dari kanan) dan U. Thamotaran (tiga dari kiri) pada pelancaran Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.

(Bernama) – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bersama dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat menubuhkan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) bagi membincangkan isu yang membabitkan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Dua NGO itu ialah Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam) dan Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama).

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, penubuhan majlis itu bukan kerana disebabkan tekanan pelbagai pihak yang melabel Perkasa sebuah parti rasis.

“Penubuhan Mirac bersama NGO Cina dan India adalah platform menyatupadukan kaum di negara ini.

“Penubuhan Mirac ini juga membuktikan Perkasa bukan hanya memperjuangkan Melayu tetapi juga kaum lain dan kepentingan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas penubuhan Mirac di sini, Jumaat.

Turut hadir Presiden Percisama, Andy Choy Chee Wau bersama Presiden Perinnbam, U. Thamotaran.

Ibrahim menegaskan, kewujudan majlis itu tidak akan menghapuskan asas perjuangan dan semangat Perkasa untuk memperjuangkan hak orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, majlis itu akan mengadakan perjumpaan sebulan sekali bersama lima pemimpin kanan setiap NGO secara tidak formal, bagi membincangkan isu penting melibatkan kaum dan kepentingan negara.

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana NGO yang ingin menyertai Mirac. Mirac akan dilancarkan pada 31 Ogos depan,” katanya.

Dalam majlis itu, ketiga-tiga wakil NGO mempersetujui dan menandatangani piagam Mirac, yang antaranya adalah mempertahankan Perlembagaan Negara, menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara, menghormati hak agama masing-masing dan toleransi antara kaum melalui nilai-nilai murni.

Sementara itu, Choy and Thamotharan menegaskan gabungan ini akan menandakan satu “era baru” untuk perpaduan kaum di negara ini. 



Comments
Loading...