Polis kesal orang ramai kurang kerjasama
Mohd Jasmani menunjukkan borang yang diedarkan kepada orang ramai setiap kali menjelang cuti sempena hari perayaan.
(Sinar Harian) – Sambutan dingin dan kurangnya kerjasama orang ramai terhadap usaha polis membanteras kejadian curi dan pecah rumah di daerah ini dikesalkan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, beliau secara peribadi kesal dengan sambutan diberikan sedangkan pihaknya bersungguh-sungguh cuba melindungi harta dan rumah penduduk daripada menjadi mangsa penjenayah.
Menurutnya, lebih dikesalkan apabila kejadian curi atau pecah rumah berlaku, pihak polis yang dipersalahkan kononnya ‘tidak bekerja’ dan lambat bertindak.
“Bagi saya perkara ini berlaku bukan disebabkan kurang maklumat sebaliknya lebih kepada sikap segelintir masyarakat yang ambil lewa terhadap keselamatan harta benda masing-masing,” katanya di sini, semalam.
Mohd Jasmani berkata, pengenalan borang balik kampung yang diperkenal sejak beberapa tahun lalu terbukti berkesan apabila rumah yang ditinggalkan di bawah pengetahuan pihak polis selamat.
“Kita memberi perkhidmatan secara percuma untuk masyarakat namun peluang yang diberikan itu langsung tidak dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata, daripada lebih 3,000 borang diedarkan, hanya 168 atau kira-kira enam peratus yang mengembalikan dengan maklumat lengkap.
“Kita mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) institusi kewangan, pusat perniagaan dan sebagainya namun maklum balas berhubung perkara ini tetap mengecewakan.
“Kita tidak menganggap sambutan dingin masyarakat sebagai kegagalan usaha yang dijalankan ini sebaliknya akan pengagihan borang itu akan diteruskan setiap kali menjelang perayaan utama,” katanya.
Menurut Mohd Jasmani, pihaknya akan melipat gandakan usaha dalam menyedarkan masyarakat terhadap usaha itu termasuk mengadakan kempen berterusan di sekolah, agensi kerajaan, swasta dan NGO.