Kerajaan perpaduan: siapa bohong?


Shahbudin Husin, TMI

Isu kerajaan perpaduan antara BN dengan PKR yang telah timbul sejak hampir seminggu lalu sehingga menyebabkan ada yang deman sejuk, demam panas, migrain dan sebagainya, akhirnya mendapat jawapan daripada Pejabat Perdana Menteri yang menafikan wujud sebarang usaha ke arah itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pejabat Perdana Menteri menyatakan, usaha ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ini tidak mungkin dilakukan ketika ini kerana Anwar dan Pakatan Rakyat masih menolak keputusan pilihanraya umum yang lalu.

Kenyataan itu juga menyebut, andaian bahawa wujudanya usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan itu hanyalah rekaan dan imaginasi penulis beberapa portal berita tertentu sahaja.

Sebelum ini, Najib dilaporkan sedang mengusahakan pembentukan kerajaan perpaduan dengan PKR dengan menawarkan kepada Anwar jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lima jawatan menteri kabinet.

Dilaporkan bahawa bekas Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla menjadi orang tengah kepada usaha itu.

Kemudiannya, Anwar mengesahkannya kepada Asia Sentinel bahawa beliau dihubungi oleh Najib melalui perantara untuk pembentukan kerajaan perpaduan itu tetapi telah menolaknya sebelum sempat ia menjadi kenyataan atas alasan isu-isu perkauman yang berterusan dimainkan oleh Umno menjadi antara penghalangnya.

Terbaru The Edge Review pula mendetailkan lagi mengenai usaha pembentukan itu dengan menyebut nama Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution sebagai orang kanan daripada Umno dan PKR yang sedangkan merundingkan beberapa aspek teknikal bagi memungkinkan idea kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan.

Najib dikatakan memilih PKR untuk berbaik-baik dan menguatkan lagi kerajaannya bukan saja kerana PKR sebuah parti berbilang kaum yang boleh menampung kelompongan wakil Cina dan India dalam kerajaan tetapi juga dikatakan sebagai langkah membuka gelanggang baru untuk keluar dari pengaruh dan bayang-bayang Mahathir yang sehingga kini masih mahu menunjukkan pengaruhnya dalam Umno dan kerajaan.

Bagaimanapun isu kerajaan perpaduan ini menimbulkan rasa kurang senang di kedua-dua belah pihak.

Di dalam PKR sendiri ramai yang tidak setuju atas alasan penentangan terhadap Umno selama ini ialah berkaitan isu pokok seperti rasuah, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya yang tidak boleh dikompromi sama-sekali.

Dalam masa yang sama, Anwar juga mula dikecam secara diam-diam kerana bersetuju berunding dengan Umno mengenai kerajaan perpaduan itu kerana ia dianggap mengkhianati PAS dan DAP yang selama ini begitu setia dengan Anwar sejak beliau dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Di dalam Umno pula, ramai yang turut tidak setuju dengan kerajaan perpaduan ini kerana merasakan Anwar bukanlah musuh politik yang boleh ditukar menjadi kawan.

Ramai yang kecewa dan sakit hati jika Anwar yang dimusuhi dan diserang selama bertahun-tahun ini tiba-tiba bertukar menjadi rakan kepada Najib serta sebahagian daripada anggota kerajaan.

Secara diam-diam, sudah ada kedengaran suara-suara yang mengecam dan memaki-hamun Najib jika benar beliau mahu berbaik-baik dengan Anwar.

Malah, ada yang mencadangkan agar Najib ditentang bagi jawatan Presiden Umno pada pemilihan 19 Oktober depan bagi menghalang usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan itu daripada menjadi kenyataan.

Walaupun Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu hari ini, persoalan yang masih bermain-main di fikiran ramai orang ialah kenapa penafian ini begitu lewat dikeluarkan?

Kenapa setelah hampir seminggu berita megenainya berlegar-legar di ruang atmosfera politik negara, baru ia mahu dinafikan oleh Najib?

Dalam dunia langit terbuka dan semuanya serba pantas sekarang serta mengetahui berita tidak perlu lagi menunggu terbitnya akhbar pada keesokan harinya, tindakan Pejabat Perdana Menteri yang terlalu lewat menafikan perkara ini tetap menyundang persoalan yang sukar dirungkaikan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...