Membuka pintu dialog


http://www.themalaysianinsider.com/assets/uploads/resizer/TMI_1Konvoi-Uthaya_S-190813_300_190_100.jpg 

Konvoi Rumah Ibadat Seremban membawa peserta memasuki masjid, kuil, gurdwara, gereja dan tokong. 

Sesungguhnya Nabi Muhammad menggalakkan dialog antara agama. Hakikat dan fakta ini nampaknya kurang diketahui sekelompok umat  Islam di Malaysia; khususnya pemimpin agama Islam yang menganggap kedudukan mereka “lebih tinggi dalam agama, jadi mereka tidak boleh duduk sama taraf dengan Bukan Islam” (The Malaysian Insider, 1 Ogos 2013).

Uthaya Sankar SB, TMI 

Setiap orang Islam sewajarnya mengajak orang Bukan Islam (Tidak Islam; Non-Muslim) untuk berbincang tentang konsep ketuhanan, kehidupan selepas kematian, perayaan dan sebagainya dalam amalan budaya masing-masing.

Demikianlah juga ditekankan oleh Telaga Biru Sdn Bhd pada bahagian “Kata Penerbit” buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir. Maka jangan pula ada puak yang menuduh saya mempromosikan dialog antara agama secara yang kononnya bertentangan dengan seruan Rasulullah dan ajaran Islam.

Istilah “fiqah” atau “fikah” merujuk kepada ibadat dan hukum-hakam syarak dalam Islam. Buku setebal 186 halaman ini yang terbahagi kepada 12 bab membicarakan pelbagai topik yang amat wajar untuk bacaan golongan Muslim; khususnya dalam suasana pelbagai “fatwa” (tanda kutip) dikeluarkan saban hari.

Bagi golongan Bukan Islam pula, pembacaan buku ini akan memberikan maklumat yang amat berguna juga; sama ada untuk memahami pelbagai perkara dan hukum-hakam pergaulan dengan rakan-rakan dan jiran-tetangga beragama Islam, atau untuk bersedia apabila diajak terlibat dalam dialog sihat berkaitan agama.

“Dakwah kepada non-Muslim mestilah dengan berhikmah, nasihat yang baik dan dialog. Proses ini memerlukan kita umat Islam bukan sahaja mengetahui agama Islam sahaja tetapi perlu juga mengetahui asas agama-agama lain,” Mohammad Nidzam mengingatkan pembaca Islam.

Saya menerima senaskhah buku yang tepu dengan ilmu ini daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Sembilan sewaktu menyertai Konvoi Rumah Ibadat di Seremban, Negeri Sembilan pada 17 Februari 2013. Buku berkenaan saya baca dari semasa ke semasa untuk menimba ilmu dan meningkatkan pengetahuan.

Petikan ayat-ayat Quran disertakan dengan terjemahan Bahasa Malaysia bagi memudahkan pemahaman. Beberapa terjemahan akan saya petik dalam makalah ini.

Seperti kata penerbit buku ini, orang Islam sepatutnya tidak menghalang orang Bukan Islam daripada membaca ayat-ayat (terjemahan) Quran; sebalik perlu bertanya sama ada ayat-ayat yang sama terdapat dalam agama mereka. Nah, inilah satu cara dialog antara agama!

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/uthaya-sankar/article/membuka-pintu-dialog 



Comments
Loading...