13 Mei bukan sekadar Melayu gaduh dengan Cina, kata bekas ketua pengarang Utusan
Diyana Ibrahim, TMI
Bekas Ketua Pengarang Utusan Said Zahari mengatakan tragedi berdarah yang berlaku dalam negara pada 13 Mei 1969 lebih besar dari sekadar pergaduhan antara kaum Melayu dan Cina.
Beliau mengulas filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mempunyai latarbelakang peristiwa itu.
“13 Mei bukanlah mengenai kaum Melayu bergaduh dengan kaum Cina tapi ia lebih dari itu, ia akibat dari golongan tidak senang melihat keharmonian bangsa dinegara ini,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider sempena ulangtahun Hari Merdeka ke-56.
“Sewajarnya sejarah harus dinilai dari keseluruhannya dan dilihat dari perkembangannya,” katanya ketika ditemui dirumahnya Puncak Alam, Selangor.
Dakwa beliau rusuhan kaum ketika itu terjadi kerana bekas penjajah akan menghalang segala usaha penyatuan kaum di negara ini dengan harapan dapat kembali menjajah.
“Ketika berada dalam tahanan saya bersama rakan-rakan berbincang mengenai insiden itu dan kami merasakan timbul perkara tidak sihat dalam isu itu,” kata Said merujuk kepada penahanannya di bawah ISA di Singapura.
Katanya British sebenarnya tidak mahu memberi kemerdekaan di negara ini namun mereka terpaksa akur dengan kebangkitan rakyat bukan saja di Malaya pada ketika itu termasuk di seluruh Nusantara selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.
Kerana itu katanya, para sejarawan negara perlu kembali kepada sejarah dahulu dan meneliti unsur-unsur yang mahu memecah belahkan perpaduan rakyat.
Mengulas cadangan Lim Kit Siang yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula peristiwa 13 Mei, Said menyifatkan ia cuma permainan politik dari seorang ahli politik.
“Tidak ada salah untuk mengkali semula insiden tersebut namun hakikatnya kita kenal siapa Lim Kit Siang, beliau seorang ahli politik hanya mengambil kesempatan atas tragedi tersebut,” kata Said.