Hishamuddin Rais yakin kerajaan perpaduan jadi kenyataan


Zulkifli Sulong, TMI

Semua pihak cuba menjauhkan diri daripada agenda kerajaan perpaduan namun bagi aktivis sosial, Hishamudin Rais, keadaan itu ambat laun akan berlaku juga.

“Saya positif, ia akan berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika bertemu dengannya, pagi ini.

Asia Sentinel sebelum ini melaporkan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kepada mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menawarkan pembentukan kerajaan perpaduan dengannya.

Dalam ucapannya sempena Hari Kemerdekaan negara pada 30 Ogos lalu, Anwar berkata, walaupun pihaknya tidak bersetuju dengan cara pengendalian pilihan raya lalu, tetapi pihaknya sedia untuk bertemu dengan Najib bagi membincangkan segala masalah negara.

Sehubungan iu, Anwar turut menggesa pertemuan segera diadakan antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

“Titik pertemuan BN dan PR perlu segera dicari bagi menyelamatkan negara di samping menyeru melupakan kesalahan masing-masing sempena hari kemerdekaan negara,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, minggu lalu.

Namun, Anwar menegaskan dalam majlis itu, ia tidak ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan.

Hishamuddin yang juga penulis berkata, kenyataan Anwar itu jika dibaca daripada yang tersirat bermaksud ke arah menubuhkan kerajaan perpaduan.

Katanya, walaupun ramai aktivis sepertinya tidak akan bersetuju dengan pendekatan ini, beliau tidak akan menentangnya.

“Saya yakin mereka akan marah dengan tindakan ini kerana ia tidak akan menyebabkan perubahan struktur yang kita mahu. Ia akan hanya berlaku perubahan menggunakan ‘gincu dan bedak’ sahaja.

“Tetapi ini adalah salah satu proses dalam pematangan kepada sebuah negara dan saya faham keperluan kepada perkara ini,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...