Pemuda PAS ragui cadangan Anwar


Anwar perlu merujuk sebarang keputusan dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan

Jamilah Kamarudin, FMT

Pemuda PAS mempersoalkan tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengadakan rundingan meja bulat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa merujuk kepada pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Anwar perlu merujuk sebarang keputusan dengan Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan untuk bertemu dengan BN.

“DPPM merasa musykil mengapa Datuk Seri Anwar begitu beriya-iya mengajak kerajaan berbincang sedangkan sebelum ini begitu teruk Presiden PAS dan pimpinan PAS yang lain dihentam ketika cadangan mengajak kerajaan BN mengadakan perbincangan?

“Dalam hal ini, DPPM sekadar mengingatkan Datuk Seri Anwar agar berhati-hati dalam permainan politik musuh

“Apa yang dibimbangkan adalah beliau terperangkap dengan politik individu atau segolongan mereka yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-56 minggu lalu memberi tawaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya segera mengadakan rundingan meja bulat antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat bagi membincangkan isu semasa yang semakin kritikal.

Antaranya isu perpecahan perkauman, peningkatan jenayah, defisit fiskal ekonomi dan eksploitasi hal-hal keagamaan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengenepikan perbezaan dan persengketaan keputusan pilihanraya umum lalu (PRU13) demi masa depan negara.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...