Berat sebelah: ROS lulus pendaftaran geng kongsi gelap, Pakatan dihalang


http://www.keadilandaily.com/wp-content/uploads/2013/09/Saifuddin-300x226.jpg 

(Keadilan Daily) – KDN seperti kita ketahui mengumumkan sejumlah pertubuhan kongsi gelap dan anehnya tiga daripada 49 pertubuhan dinamakan itu mempunyai status pendaftaran dengan ROS.

Tiada sebarang surat rasmi diterima Pakatan Rakyat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung permohonan pendaftaran gabungan itu sejak dikemukakan pada 2009, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Berhubung status pendaftaran itu, Pakatan menurutnya konsisten menghubungi ROS sama ada melalui surat, kunjungan, telefon dan emel, namun dalam tempoh itu tiada sebarang jawapan diperolehi.

“Sejak 30 November 2009 hingga hari ini (3 September 2013) tiada sebarang hitam putih diterima daripada ROS mengenai status permohonan pendaftaran Pakatan Rakyat,” kata Saifuddin membidas keengganan ROS meluluskan permohonan itu.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman mengumumkan, ROS tidak dapat memproses permohonan tersebut dan ini bertentangan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jabatan itu.

“Mengikut KPI ROS, jabatan itu mesti memberi keputusan status pendaftaran sesuatu pertubuhan dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh mereka mengemukakan dokumen pendaftaran.

“Apa yang berlaku dalam masa 30 hari permohonan kami? Apakah Pakatan ada menerima sebarang surat dari ROS mengenainya? Tiada sebarang surat menyurat daripada ROS,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Saifuddin turut mengecam tindakan ROS yang berat sebelah ekoran pendedahan tiga dari 49 pertubuhan kongsi gelap yang diumum Kementerian Dalam Negeri (KDN) 30 Ogos lalu berdaftar dengan jabatan itu.

“KDN seperti kita ketahui mengumumkan sejumlah pertubuhan kongsi gelap dan anehnya tiga daripada 49 pertubuhan dinamakan itu mempunyai status pendaftaran dengan ROS.

“Pertubuhan yang dianggap KDN sebagai merbahayapun ROS boleh luluskan, apa lagi Pakatan yang tiada kongsi gelap, memang patut sangat permohonan kami diluluskan,” sinisnya.

Pada 2 September lalu, Abdul Rahman mengesahkan tiga daripada 49 kumpulan tersebut adalah pertubuhan sah dan pernah berdaftar dengan ROS, namun nama kumpulan itu dirahsiakan.

Sebelum ini, KDN turut mengumumkan 40,313 individu dikenalpasti ahli kumpulan 49 pertubuhan haram kongsi gelap yang antara aktiviti mereka ialah pengedaran dadah, peras ugut dan membunuh menggunakan senjata api.  



Comments
Loading...