PAS tolak kerajaan perpaduan


(TMI) – Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan (gambar) menegaskan, PAS menolak kerajaan perpaduan  antara PAS dan Umno seperti yang diputuskan dalam beberapa mesyuarat parti itu sebelum ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasrudin berkata, perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ia dipersetujui semua Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“PAS sememangnya bertegas dalam hal ini dan ia bermula sejak awal,” katanya.

Nasrudin berkata, beliau percaya rakan pimpinan PAS yang lain juga akan mengambil pendirian serupa kerana ia dipertegaskan secara bersama sejak sekian lama.

Katanya, ia dibuat melalui  dua siri Muktamar PAS, satu Seminar Politik Khas dan beberapa siri mesyuarat PAS Pusat dan mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat.

“Masih segar dalam ingatan saya, selepas menerima keputusan PRU ke-12 pada 2008 dan meneliti keperluan semasa pada waktu itu, Presiden PAS melalui ijtihad politiknya melontarkan idea kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, ijtihad itu dilontar lima tahun lebih awal daripada versi kerajaan perpaduan berkait dengan Datuk Seri Anwar yang sedang hangat dibincangkan pada hari ini.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berkata, sehingga pagi ini masih ramai wartawan dan orang perseorangan menghubunginya bertanya pendiriannya mengenai isu kerajaan perpaduan.

Isu kerajaan perpaduan berkumandang kembali apabila Anwar mengesahkan melalui Asia Sentinel bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menawarkan kerajaan perpaduan dengan PKR.

Namun sehingga kini Najib belum mengesahkannya tetapi pemimpin Umno menolaknya.

Nasrudin berkata, semua pihak patut mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...