Kenapa Anwar gagal?


Pada PRU 1999, parti pembangkang mendapat undi simpati dari kalangan pengundi Melayu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dimasukkan dalam penjara. 

oleh Musli Oli, FMT

Ada tiga insiden pilihan raya umum (PRU) dalam negara ini, di mana parti pemerintah hampir tewas kepada parti pembangkang. Pertama, pada PRU 1969, Parti Perikatan yang memerintah gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Pulau Pinang ditawan parti pembangkang Gerakan dan Kelantan kembali kepada PAS.

Berdasarkan keputusan PRU 1969, dua buah negeri, Selangor dan Perak nyaris ditawan parti pembangkang. Negeri Perak hanya diperintah Parti Perikatan setelah dua wakil rakyat PPP mengalih sokongan kepada parti itu.

Pilihan raya kali kedua ialah pada tahun 1999. Pada PRU 1999, parti pembangkang mendapat undi simpati dari kalangan pengundi Melayu setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dimasukkan dalam penjara.

Kesannya, beberapa pemimpin kanan UMNO gagal mempertahan kerusi kerana ‘swing’ sokongan Melayu kepada PAS dan PKR. Kedah, Selangor dan Perak adalah antara negeri-negeri yang nyaris-nyaris ditawan parti pembangkang. Kelantan kekal di tangan PAS manakala BN kehilangan Terengganu.

Pada PRU 1999, Parti DAP gagal menarik sokongan yang signifikan daripada pengundi Cina dan kaum bukan Melayu yang lain. Kaum Cina pada ketika itu masih menaruh keyakinan kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah berjaya menangani krisis mata wang yang melanda Asia pada 1998. Tun Mahathir pernah berkata, “Orang Melayu mengundi pembangkang mengikut emosi, kerana isu ‘mata hitam’, tapi orang Cina terus mengundi BN, kerana isu ‘mata wang’ ”.

Pilihan raya kali ketiga ialah pada PRU 2008. Tsunami politik melanda BN tanpa diduga. BN sekali lagi hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Lima buah negeri jatuh kepada parti pembangkang. Jika kemenangan besar BN pada PRU 2004 dikatakan kerana ‘aura’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun), persembahan yang teruk pada PRU 2008 diletakkan bulat-bulat sebagai ke’lembik’an Pak Lah!

Ramai yang terpinga-pinga mencari jawapan sebenar kenapa parti pembangkang boleh memperolehi 82 kerusi parlimen. Sehingga hari ini masih ramai tidak tahu sebab sebenar kenapa rakyat Malaysia tiba-tiba bangkit mahukan perubahan pada 2008. Apakah kerana faktor Anwar Ibrahim yang telah dibebaskan beberapa bulan sebelum PRU 2008?

Kesimpulan

UMNO membuat kesimpulan yang mudah dengan mendesak Pak Lah berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Analisis tiga pilihanraya umum – tahun 1969, 1999, dan tahun 2008 amat menarik kerana fakta-fakta berikut. Pertama, dalam tiga PRU itu, sokongan rakyat kepada parti pembangkang meningkat tanpa dikepalai seorang pemimpin pembangkang yang dianggap berpengaruh atau popular seperti Anwar Ibrahim.

Walaupun Lim Kit Siang dari DAP, yang pernah jadi Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat seorang yang berpengaruh, namun ia terbatas kepada kaum Cina dan bukan Melayu. Begitu juga dengan Datuk Asri Muda, Ustaz Fadzil Noor, Tok Guru Hadi Awang dan pemimpin PAS yang lain seperti Tok Guru Nik Aziz. Pengaruh dan kepimpinan mereka agak terbatas kepada orang Melayu dan Bumiputera yang beragama Islam.

Pada PRU 1999, Anwar Ibrahim dalam tahanan. Parti Keadilan pada ketika itu dipimpin isterinya, Datin Seri Wan Azizah. Pada PRU 2008, Anwar Ibrahim belum layak bertanding mengikut peraturan pilihan raya umum. Hakikatnya, rakyat yang menyokong dan mengundi parti pembangkang tidak tahu siapa bakal Perdana Menteri mereka.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...