Pemilihan Umno: Antara watak dan dasar


Kalau mereka mahu orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain diberikan peluang untuk membebaskan diri mereka daripada terus menjadi warga ekonomi kelas tiga, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang cerdik, berani, berilmu dan berwawasan.

A Kadir Jasin, TMI

Pemilihan kepemimpinan Umno semakin panas. “Hot” kata bahasa jalanan anak-anak muda dewasa ini.

Tetapi, umpama kereta api, adakah yang panas itu kepalanya (lokomotif) atau gerabaknya yang berisi penumpang yang “gumbira” (meminjam bahasa P Ramlee) dan kargo yang berharga?

Kalau kepalanya saja yang “hot” tetapi penumpangnya moyok, meragam, meluat, menyampah dan tidak sabar turun atau mahu lokomotif baru menarik mereka pun tidak berguna juga.

Kereta api wap KTM panas, bising dan berasap. Saya nostalgi. Inilah kereta api zaman muda saya.

Tetapi setakat hari ini, apa yang dilaporkan oleh media massa memberi gambaran pemilihan kepemimpinan Umno adalah mengenai kepala kereta api.

Mungkin saya terlepas pandang. Yang saya baca hanya seorang sahaja daripada banyak orang yang menawarkan diri sebagai calon dilaporkan bercakap mengenai gerabak, penumpang dan muatan iaitu Mohd Ali Rustam yang berkata dia mahu memperjuangkan semula asas penubuhan Umno.

Kalau setakat hendak memilih kepemimpinan dan mencari ganjaran peribadi jangka pendek, tidak perlulah ahli Umno bersusah payah memeras otak. Pilih saja yang koceknya dalam dan prinsipnya cetek.

Apa orang Umno mahu?

Tetapi kalau mereka mahu kepemimpinan yang berjiwa perjuangan dan mampu menebus semula maruah parti dan kembali memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara, mereka perlulah memilih yang lebih baik.

Kalau mereka mahu orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain diberikan peluang untuk membebaskan diri mereka daripada terus menjadi warga ekonomi kelas tiga, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang cerdik, berani, berilmu dan berwawasan.

Kalau mereka berasa dasar pertumbuhan ekonomi yang disertai oleh pembahagian adil seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) baik untuk mereka, mereka wajib memilih barisan kepemimpinan yang tidak “apologitic” memperjuangkan hak majoriti.

Soalnya (soalnya), akan adakah dalam barisan calon Umno nanti orang seperti itu? Atau, seperti kata P Ramlee, walhasil balik asal itu pasal tak hasil.

Masih adakah lagi pewaris Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Tun Dr Mahathir di kalangan kepemimpinan dan calon pemimpin Umno dewasa ini?

Masih pedulikan kepemimpinan Umno kepada kedudukan orang Melayu dan Bumiputera lain yang berupa majoriti dalam kelompok 40 peratus rakyat jelata terkebawah dalam arena ekonomi?

Selepas menyalahkan kehambaran pencapaian Barisan Nasional kepada tsunami Cina, adakah Mohd Najib dan kepemimpinan Umno akan mengucapkan terima kasih kepada orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah kerana menyelamatkan BN dan Umno pada 5 Mei lalu dengan memberikan mereka apa yang telah diabaikan?

Apakah Mohd Najib akan membentangkan agenda Melayu, agenda Bumiputera dan agenda rakyat miskin yang lestari (“sustainable”) sebelum atau ketika Perhimpunan Agung Umno kali ini?

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...