Benarkah PAS semakin lemah?


Tahaluf Siyasi perlu kepada pengisian, bukan dikaji semula. 

Zainal Abidin Nor, FMT

Resolusi supaya dikaji semula pendekatan ‘Tahaluf Siyasi’ (kerjasama atau pemuafakatan politik) dengan PKR dan DAP mencetuskan kerisauan atau sekurang-kurang menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan ahli parti di peringkat akar umbi.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Harun Taib dalam Multaqa Ulama di Kota Sarang Semut, Kedah pada 14 September lalu meminta Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat mengkaji semula Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat.

Cadangan atau resolusi untuk mengkaji semula Tahaluf Siyasi ini telah menimbulkan persepsi yang negatif di kalangan ahli bagi memikirkan di mana silapnya kerjasama politik bersama PKR dan DAP selama ini.

Gambaran yang diberi ekoran timbulnya resolusi ini ialah kerjasama ini merugikan PAS dan pengaruh PAS semakin lemah seperti mana yang dimainkan akhbar-akhbar milik Umno dan pro Umno.

Adakah benar pengaruh PAS semakin lemah? Kenapa perlu dikaji semula kerjasama ini? Atau adakah ia sekadar penilaian untuk mencorakkan strategi politik untuk mendepani cabaran masa depan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) nanti?

Walaupun PAS mencapai kemenangan yang besar di Selangor dan berjaya mengekalkan Kelantan sejak tahun 1990 tetapi prestasi keseluruhan PAS dalam PRU-13 adalah tidak memuaskan malahan merosot. Dari sejumlah 66 kerusi Parlimen yang ditandingi, PAS hanya memenangi 21 kerusi.

Menurut sumber dalaman, ada segelintir di kalangan ahli dan pemimpin PAS masih menyimpan hasrat untuk terus berusaha ke arah membentuk Kerajaan Perpaduan (bersama Umno-Barisan Nasional) dalam mentadbir Kerajaan Pusat.

Harun Taib merupakan salah seorang daripada mereka. Selain Harun; Nasharuddin Mat Isa serta beberapa pemimpin lain Terengganu cenderong kepada konsep Kerajaan Perpaduan atau UG (Unity Government) ini. Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali juga adalah di antara tokoh yang cenderong kepada UG tetapi berjaya disingkirkan PAS dari barisan kepimpinanan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohd Abduh Nik Aziz yang dilihat mewakili golongan ulama muda dalam PAS juga disebut termasuk dalam golongan ini. Maklum sajalah, bagaimana perasaan dilantik sebagai wakil rakyat pada usia yang muda.

Di sinilah terletaknya kelemahan PAS. Masih bercita-cita untuk bermain mata dan bergesel bahu dengan pemimpin-pemimpin Umno yang berfahaman sekular itu.  Mungkinkah kerana ianya tercetus dari keinginan kepada kebendaan dan keuntungan duniawi?

Projek mega

Maklum sajalah, orang-orang Umno sentiasa dikelilingi oleh berbagai projek bertaraf mega dan ‘tidur’ di atas lambakan wang yang berlimpah ruah. Ini merupakan jalan pintas untuk menjadi kaya raya dan hidup senang lenang.

Ahli-ahli PAS harus menyedari bahawa perjuangan dalam PAS tidak sama dengan perjuangan dalam Umno. Sungguh tidak sama, ibarat langit dengan bumi. Perjuangan Umno bersalut dengan emas dan permata dan perjuangan PAS harus bersikap ikhlas dan mencari keridhaan Allah semata-mata.

Jika ahli-ahli PAS mahu mengejar kebendaan dan keuntungan duniawi yang tidak seberapa dan tidak kekal ini maka tidak ada bezalah perjuangan PAS dengan Umno. Tidak ada bezalah sebuah gerakan Islam dengan sebuah parti politik sekular. Lebih baik masuk Umno, dapat duit dapat projek.

Inilah kelemahan PAS pada hari ini. Kemungkinan sistem pentarbiyyah tidak lagi berkesan. Ahli-ahli PAS tidak mahu menganjurkan Usrah atau menjauhi diri bila ada program Usrah atau sentiasa mencari alasan untuk tidak hadir dalam Usrah, kelas pengajian maupun ceramah.

Pucuk pimpinan harus menumpukan kepada perkara ini.  Malah salah satu resolusi Multaqa Ulama juga menyentuh hal ini iaitu mengajak para ulama PAS melakukan pengukuhan gerak kerja antaranya tarbiyyah, kedudukan kepimpinan ulama yang menjadi tunjang utama kepada parti dan memperkasakan ilmu pengurusan serta kepimpinan.

Ahli-ahli PAS perlu diberi pentarbiyyah semula atau ‘rebranding’ bagi melakar matlamat perjuangan masa depan. Keimanan dan komitment terhadap perjuangan Islam perlu ditingkatkan.

Usaha ini adalah untuk menghindari hasrat ahli-ahli mahu berbaik-baik dengan Umno dengan matlamat untuk membentuk UG. Tahaluf Siyasi perlu kepada pengisian bukan dikaji semula.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap cadangan untuk mengkaji semula Tahaluf Siyasi hanyalah ‘memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan’.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menegaskan bahawa PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Kerjasama dengan Umno dilihat sebagai satu usaha untuk merendahkan nilai diri kita sendiri seperti mana tercatat dalam kitab Hidayatul Saalikin yang dikarang oleh Sheikh Abdul Samad Palembang.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...