Zulkifli mahu perwakilan DAP tolak konsep “parti keluarga”


(BERNAMA) – Bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Zulkifli Mohd Noor mahu perwakilan parti itu menolak ‘parti keluarga’ pada pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) DAP pada 29 September depan supaya barisan yang dipilih lebih bersifat demokratik untuk memperjuang nasib pelbagai kaum.

Beliau berkata, slogan demokrasi dan ungkapan berbilang kaum yang dilaung-laungkan selama ini oleh DAP hanya bersifat hipokrit dan indah khabar daripada rupa.

Katanya, daripada maklumat yang diperolehnya sewaktu kempen yang diadakan sempena pemilihan itu, anggota perwakilan nampaknya sudah mula sedar bahawa perjuangan politik DAP dimonopoli keluarga tertentu.

“Sudah sampai masanya istilah ‘ubah’ harus dipakai dalam parti ini untuk menolak corak kepimpinan yang bersifat kekeluargaan kerana ia punca berlakunya perpecahan dalam  parti.

“Disebabkan penguasaan sesebuah keluarga inilah yang melenyapkan penampilan serta perjuangan parti daripada sudut berbilang kaum,” katanya pada sidang media yang diadakan di Georgetown, hari ini.

Selain itu, katanya, anggota perwakilan juga mula sedar bahawa DAP juga memerlukan penglibatan kepimpinan Melayu di peringkat tertinggi bagi meraih sokongan orang Melayu.

“Parti DAP sepatutnya sudah lama membenarkan banyak pemimpin Melayu berada di peringkat tertinggi barisan kepimpinan tetapi kerana masih wujud ‘keluarga tertentu’ maka itulah DAP dianggap perkauman dan anti Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mencabar kepimpinan tertinggi DAP untuk melantiknya sebagai pengerusi kebangsaan DAP menggantikan Karpal Singh (gambar) sekiranya beliau terpilih pada pemilihan semula CEC nanti.

“Saya cabar mereka lantik saya, sekiranya Karpal Singh mengundur diri atau mahu bersara daripada memegang jawatan itu, bukan niat saya mahu ketepikan dia (Karpal Singh) tetapi sekiranya dia mahu berundur, saya sedia menawar diri.

“Apa salahnya selepas 47 tahun, DAP beri jawatan pengerusi kebangsaan kepada orang Melayu,” katanya.

 



Comments
Loading...