Husam harap Mukhriz menang


http://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/05/18/Husam%20Musa.jpg 

(Sinar Harian) – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berharap calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir memenangi jawatan tersebut pada Pemilihan Umno hari ini kerana pemimpin itu dikatakan membantu melemahkan hasrat kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Beliau berkata, kemenangan Mukhriz penting bagi membolehkan Tun Mahathir Mohamad menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada barisan kepimpinan Umno jika masih berminat menandatangani perjanjian tersebut.

“Itu saja cara untuk kita selamat daripada TPPA, ia tidak berkesan dengan bersuara dari luar kerana rakyat di kampung-kampung tidak faham implikasi TPPA ini sedangkan ia merupakan satu bentuk penjajahan baru yang lebih dahsyat daripada penjajahan British dahulu.

“British menakluki negara melalui beberapa perjanjian seperti perjanjian Pangkor, penyerahan Pulau Pinang dan sewa beli Singapura yang akhirnya menyaksikan mereka mengaut kekayaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Korban anjuran Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) di Markas Penerangan Pas Pasir Puteh di sini, kelmarin.

Turut hadir, Presiden Royalti, Nazri Deraman; Pengerusi Royalti Pasir Puteh, Zarir Yaacob; Yang Dipertua Pas Kawasan, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamed dan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan, Yuganu Yunus.

Husam berkata, TPPA akan menyaksikan Amerika datang bersama syarikat-syarikat besar yang dilindungi menerusi perjanjian tersebut untuk mengongkong perdagangan negara.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau gerakan anti TPPA perlu mengadakan bantahan khususnya di Jeli, Kelantan kerana menteri yang bertanggungjawab adalah Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli.

“Saya percaya rakyat Jeli tidak memahami TPPA sedangkan ianya merupakan pengkhianatan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sepatutnya datang ke Malaysia baru-baru ini bagi tujuan tersebut tapi ia ditangguhkan memandangkan Perhimpunan Agung Umno belum selesai.

Amerika Syarikat memberi respons positif ke atas gesaan Malaysia supaya rundingan TPPA lebih fleksibel dan ia dilihat membantu mengukuhkan hubungan ekonomi antara Washington dan Kuala Lumpur.

 



Comments
Loading...