TPM nafi keluar kenyataan


(Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan mengeluarkan kenyataan yang dibuat dalam satu akaun Facebook mengenai dakwaan adanya keputusan Jawatankuasa Disiplin Umno ke atas Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno menegaskan akaun Facebook itu bukan milik beliau dan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat akaun Facebook itu yang menggunakan nama ‘Tansri Muhyiddin Yasin’.

“Saya menafikan kenyataan yang dibuat dalam satu akaun FB (Facebook) mengenai dakwaan adanya keputusan Jawatankuasa Disiplin Umno ke atas Datuk Mukhriz.

“Saya tidak mengeluarkan kenyataan itu dan akaun FB itu bukan milik saya,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.

Akaun Facebook itu dikesan memuat naik kenyataan pada pukul 8.30 pagi ini yang menyebut Mukhriz telah disingkir daripada percalonan naib presiden Umno.

Kenyataan itu, antara lain berbunyi “Pihak Lembaga Disiplin Umno telah membuat keputusan bahawa calon didapati telah melanggar etika parti dan secara langsung terlibat dalam penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas yang diadakan oleh pihak calon baru-baru ini.

“Saya berharap pihak Lembaga Disiplin Umno dapat menyiasat perkara ini secepat mungkin,” menurut status dalam Facebook itu.

Status yang dimuat naik itu telah mendapat 45 komen dan 32 like setakat 1.30 petang ini.

Mukhriz terima permohonan maaf M’sia Insider

Sementara itu, Mukhriz membatalkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita Malaysian Insider yang memohon kepadanya susulan penyiaran laporan beliau terbabit politik wang.

Mukhriz berkata portal berita itu juga menarik balik laporan berita yang disiarkan semalam.

“Laporan ini keluar pada saat-saat akhir sedangkan kita telah berkempen selama dua minggu, tiada pun gambaran atau andaian buruk sangka timbul.

“Saya tergerak mengambil tindakan undang-undang terhadap The MalaysianInsider sebagai amaran dan untuk mempertahankan diri. Media dalam talian dan alternatif yang bebas mesti beretika membuat laporan,” katanya kepada pemberita, di Jerlun, Kedah hari ini.

Mukhriz sebelum itu diumum menang jawatan ketua Umno Bahagian Jerlun tanpa ditandingi.

Beliau yang juga bertanding jawatan naib presiden parti tidak menolak perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang mahu beliau kalah dalam pertandingan peringkat tertinggi berkenaan.

Semalam, portal berita itu menyiarkan laporan yang antara lain mendakwa Mukhriz mengamalkan politik wang dalam pemilihan Umno kali ini.

Susulan itu, pihak Menteri Besar berkenaan meminta pengendali portal menarik balik laporan dan meminta maaf kepada Mukhriz sebelum pukul 10 pagi hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Hari ini pengendali laman tersebut menarik balik laporan berkenaan sambil menyatakan laporan itu tidak tepat. Menurut Mukhriz beliau menerima permohonan maaf itu pada 9.48 pagi tadi.

Selain laporan Malaysian Insider itu, ada laman sosial yang menggunakan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebarkan maklumat menyatakan Mukhriz hilang kelayakan bertanding.

Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata :”Ini satu lagi cubaan tidak beretika untuk menggagalkan saya dipilih menjadi naib presiden.” 

 



Comments
Loading...