Pemuda PAS desak NGO gugur tuntutan bercanggah Islam


(TMI) – PAS menggesa agar tuntutan-tuntutan bercanggah dengan Perlembagaan dan amalan ajaran Islam di negara ini yang dibawa oleh badan bukan kerajaan hak asasi manusia (Comango) ke Proses Semakan Berkala (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di Geneva, Switzerland hari ini digugurkan.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi (gambar) dalam sidang medianya menegaskan, menggesa NGO itu perlu merujuk kepada kerangka Perlembagaan Malaysia serta prinsip agama khususnya Islam bagi mengelakkan sebarang prejudis dan persepsi negatif.

“Kami turut mendesak agar campurtangan atau tekanan luar terhadap keputusan yang telah diambil melibatkan Islam tidak wajar di lobi ke peringkat antarabangsa memandangkan ia harus ditangani secara ilmiah di negara ini di samping mewujudkan perundingan bersama di setiap peringkat,” kata kenyataan berkenaan.

Nasrudin bagaimanapun turut  menyokong usaha sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak asasi manusia, asalkan ia tidak bercanggah dengan amalan Islam.

“Islam menyanjungi kemuliaan manusia dan menolak segala bentuk kezaliman yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Antara tuntutan NGO berkenaan yang dipertikaikan parti Islam itu adalah gesaan agar Malaysia menandatangani International Covenant on Civil & Political Right (ICCPR) yang mengandungi peruntukan kebebasan beragama.

Selain itu, PAS turut membantah gesaan yang dibawa NGO berkenaan untuk mengiktiraf hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), dan mempertikaikan peruntukan yang terdapat Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah termasuk beberapa keputusan Mahkamah Syariah berkenaan isu kalimah Allah, pengharaman Syiah, dan hak Muslim menukar agama anak bawah umur kepada Islam.

Perbahasan berkenaan NGO berkenaan semalam dibangkitkan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Dewan Rakyat dan mencetuskan pertikaman lidah apabila beliau bertanyakan soalan sama ada beberapa pemimpin pembangkang menyokong perkahwinan sejenis.

Noh ketika sidang medianya turut mendakwa ancaman perpecahan agama merupakan ancaman terbaru yang mula menular di Malaysia dan tuntutan NGO itu adalah virus yang mula menular terhadap ancaman berkenaan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...