Ego dan jiwa kecil berdiri di antara PAS dan UMNO


Aspan Alias, TMI

Sejak negara mengadakan pilihan raya, Sungai Limau adalah sinonim dengan PAS. Negara telah mengadakan pilihan raya sebanyak 13 kali dan PAS telah berjaya di kawasan ini sebanyak sembilan kali sementara Umno hanya empat kali.

Sekarang PAS adalah penyandang kepada kerusi dan pilihan raya kali ini ramai yang masih beranggapan PAS akan menang walaupun dengan majoriti lebih kecil. Dalam pilihan raya 2013, Allahyarham Tan Sri Azizan mengalahkan lawannya dengan majoriti undi sebanyak 2,774.

Jika dinilai untung ruginya memenangi kerusi ini, kedua-dua belah pihak tidak menokok dan mengurangkan tahap kehadiran parti masing-masing. Kemenangan PAS di sini tidak menambah apa-apa, sekadar menunjukkan bahawa PAS tetap mempunyai pengaruh dan sokongan di kawasan ini. BN pula tetap menjadi kerajaan negeri Kedah.

Kemenangan BN sekadar menunjukkan pada ramai yang Mukhriz mempunyai sedikit ‘consequence’ kerana beliau baru sahaja mengetuai kerajaan BN selepas PRU yang lalu. Jika BN kalah di kawasan ini, Umno tetap berkuasa ke atas kerajaan negeri itu.

Dalam pilihan raya ini masih lagi peperangan ego yang besar dan segala usaha yang di sebutkan oleh setengah pihak akan ada perpaduan di antara kedua parti Melayu itu hanya tinggal cerita dongeng semata-mata. PRU ini masih lagi di tahap ‘siapa kuat dia menang’ tetapi tidak nampak unsur untuk meningkatkan perpaduan di antara kedua-dua belah pihak. Tidak ada lagi unsur yang boleh meyakinkan kita yang kedua-dua pihak mahu menjalin kerjasama yang baik dan telus untuk kepentingan umat Melayu yang masing-masing bersetuju sedang dalam kegelapan.

Hakikatnya apa dan siapa sahaja yang memenangi kerusi ini tidak membawa keuntungan kepada sesiapa. Calon Umno (BN) berdepan dengan media dengan begitu kerap memberikan segala perancangan beliau untuk kawasan ini. Kata-kata itu sememangnya kata-kata biasa dalam mana-mana pilihan raya.

Maudhuknya tetap menjanjikan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi dan sebagainya. Ini kita dengar dalam setiap pilihan raya sejak dahulu lagi tetapi kawasan-kawasan itu masih tidak mempunyai cukup pembangunan.

Sudah 56 tahun negara merdeka, keadaan Melayu Islam tetap sama sedangkan janji-janji dalam setiap pilihan raya adalah janji yang sama. Seandainya janji setiap calon BN dilaksanakan sejak merdeka dahulu, masakan negeri Kedah tetap sebuah negeri yang miskin berbanding dengan negeri-negeri lain?

Kedah bukannya miskin sejak PAS memerintah sahaja. Kali ini berjanji lagi seolah-olah jika mendapat kemenangan, semua rakyat dan pengundi di Sungai Limau itu akan maju dan menyumbang untuk mencapai matlamat negara maju menjelang 2020.

Baik pemimpin pusat dan negeri apabila berjanji seolah-olah dunia ini hendak dialihnya. Matahari yang terbit dari timur hendak diterbitkannya dari barat. Najib berjanji seolah-olah beliau mampu mengalirkan sungai dari muara naik ke bukit, serta menukar malam menjadi siang dan siang menjadi malam.

Sesungguhnya pemimpin Umno yang selama ini meminta PAS menghulurkan salam persahabatan hanya berada di bibir sahaja tetapi tidak menunjukan kesungguhannya. PAS dikatakan degil dan sombong oleh Umno kerana keras kepala kononnya. Namun, dalam isu ini PAS tidak boleh dipersalahkan kerana PAS pernah mengalami dipecat oleh Umno dan parti itu terkeluar daripada BN suatu ketika dahulu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...