Membongkar Salah Faham dan Salah Persepsi Perjuangan Menentang TPPA


https://lh5.googleusercontent.com/-CVKrXPy-i4A/TsHdZXcLHGE/AAAAAAAAADw/F7Ur7-eYdoU/s250-c-k/ProfilePhotos 

Lantas, saya dengan rendah diri di sini cuba untuk membongkar beberapa mitos mengenai TPPA, dan mengapa penentangan terhadapnya mengatasi dan melebihi daripada memenuhi kepentingan pihak tertentu sahaja. 

Anas Alam Faizli

Sudah beberapa bulan berlalu selepas Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPPA) meraih perhatian awam dan rundingan rahsia sejak 2010 terbongkar kepada orang awam. Sejak itu, dialog, bengkel, kempen kesedaran, berita media dan perbincangan di antara pelbagai pertubuhan gerakan awam sudah dijalankan.

Bantah TPPA, suara terbesar setakat ini dalam usaha penentangan TPPA secara berterusan, telah berjaya membuka jalan untuk meningkatkan kesedaran awam dan menarik pelbagai pihak, pakar-pakar industri, dan kerajaan untuk membincangkan keburukan yang mungkin diakibatkan oleh TPPA kepada rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Sungguhpun begitu, terdapat juga penentang-penentang TPPA yang lain; terdiri daripada personaliti-personaliti politik, kumpulan-kumpulan berkepentingan tertentu, serta kumpulan pro-perlindungan yang mewakili pihak-pihak tertentu.

Walaupun begitu, isu TPPA sebenarnya lebih besar daripada itu. Kesannya nyata dan akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan politik, kaum dan kepentingan peribadi.

Penting ditegaskan di sini bahawa Bantah tidaklah menentang perdagangan bebas secara prinsipnya, tetapi yang ditentang ialah TPPA; yakni terhadap pemberian laluan percuma kepada rakan dagangan untuk sewenang-wenangnya mempunyai hak menentukan urusan mengawal selia perdagangan dalam negara kita dan akhirnya, kedaulatan dan hak kita. TPPA bukanlah suatu perjanjian perdagangan yang adil mahupun perdagangan bebas sama sekali, memandangkan hanya 6 daripada 29 bab rundingan melibatkan perdagangan, manakala bab-bab selebihnya berpotensi mengancam kedaulatan Malaysia dan pembangunan ekonomi negara.

Lantas, saya dengan rendah diri di sini cuba untuk membongkar beberapa mitos mengenai TPPA, dan mengapa penentangan terhadapnya mengatasi dan melebihi daripada memenuhi kepentingan pihak tertentu sahaja.

1)  Menentang TPPA ialah pro-perlindungan

Penyokong TPPA selalu berpegang kepada janji pasaran terbuka yang didakwa menjadi salah satu faedah utama TPPA. Syarikat tempatan boleh menembusi pasaran Amerika dan 12 buah negara lain dan faedah perdagangan bebas dan liberalisasi pasaran kelihatan memihak kepada mereka. Ada yang menggunakan analogi bahawa TPPA adalah seperti 6 atau 8 lorong lebuhraya yang akan membuka laluan besar kepada syarikat tempatan kita sebaik sahaja Malaysia meratifikasikan TPPA. Dibandingkan dengan laluan sempit dan buruk yang sedang digunakan, penentangan terhadap TPPA akan dilabelkan sebagai perlindungan yang akan melepaskan potensi besar yang menanti peniaga-peniaga ini. Adakah ini benar?

Perlindungan sememangnya dipandang jelek oleh banyak pihak. Jika kita membaca buku teks ekonomi dan perdagangan antarabangsa, kita tidak mungkin tidak terserempak dengan kritikan terhadap perlindungan yang mempunyai peranan besar dalam The Great Depression. Walaupun kita bersetuju secara prinsipnya bahawa perlindungan itu boleh dipersalahkan (walaupun hakikatnya, Amerika yang memulakannya), ia bukanlah boleh dilhat dengan mudahnya sebagai “laluan sehala”. Menentang TPPA mungkin menyebabkan anda berada dalam kem yang menyebelahi polisi perlindungan (sekiranya ia benar wujud), tetapi adakah TPPA menjamin yang Amerika sendiri tidak akan turut menggunakan kaedah perlindungan untuk selamanya demi melindungi syarikat-syarikatnya sendiri?

Kita tidak boleh menjadi terlalu naif beranggapan yang Amerika akan menghapuskan undang-undang perlindungan perdagangannya terutamanya undang-undang anti-limpahan dan kuasa timbal balasnya yang kejam. Tatkala perunding-perunding MITI berhujah dengan sangat optimis tentang penerokaan pasaran baru di rantau Asia-Pasifik, pengeluar udang kita telahpun dikenakan tindakan 60% cukai anti-limpahan dan timbal balas oleh Suruhanjaya Perdagangan Bebas Amerika (FTC). Bukankah ini jugasatu bentuk perlindungan?

Sekali lagi, kita tidak boleh terpedaya dengan dakwaan bahawa kewajiban untuk mengurangkan tarif merupakan sebahagian daripada tanggungjawab untuk mengimarahkan kemasukan pasaran asing ke dalam pasaran domestik. Kadar tarif Amerika dalam banyak produk sudahpun dikira rendah sejak sekian lama. Apa yang menghalang produk eksport kita memasuki pasaran Amerika bukanlah kerana produk kita mahaltetapi kerana sekatan bukan-tarif yang menyebabkan peningkatan kos untuk para pengeluar kita seperti kos untuk mematuhi peraturan teknikal, standard dan ujian pematuhan yang ditetapkan oleh pihak kastam Amerika. Amerika mempunyai standard yang lebih tinggi daripada kita; ada kemungkinan standard mereka ini jugalah yang akan dikenakan ke atas kita apabila TPPA dilaksanakan.

2)  Menentang TPPA itu menentang persaingan sihat

Penyokong TPPA telah melaung-laungkan kemungkinan yang TPPA akan memperhebat persaingan pasaran di Malaysia. Walaupun peraturan-peraturan yang menggalakkan proses persaingan penting untuk negara, tiada hubungan jelas yang telah berjaya dibuktikan untuk mengesahkan bahawa persaingan yang sihat akan berlaku dengan TPPA. Malaysia sudahpun mempunyai Akta Persaingan 2010 yang mengawal selia ekosistem persaingan di Malaysia dan undang-undang tersebut tidak mendiskriminasikan antara syarikat luar dan tempatan. Walaupun kita melihat keperluan untuk meningkatkan tahap persaingan dalam pasaran, jawapannya wujud dalam keberkesanan peruntukan undang-undang yang sudah sedia ada ini dan penguatkuasaanya oleh pihak berkuasa berkaitan di Malaysia, bukannya cadangan wajib yang datang daripada luar Malaysia. Banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) tidak menyediakan peraturan substantif dan prosedur yang perlu digabungkan ke dalam peraturan persaingan tempatan.

3)  Menentang TPPA ialah agenda Melayu

Penyokong TPPA berhujah dengan analisis kritikal tentang kesan yang mungkin datang daripada TPPA ke atas aktiviti perolehan kerajaan; TPPA dikatakan satu langkah untuk menghentikan sikap pilih kasih dan hanya memenuhi kepentingan orang Melayu kerajaan dalam pembelian barangan dan servis serta penganugerahan kontrak. Bertentangan dengan pandangan ini, hujah daripada pihak yang menentang perjanjian ini menegaskan bahawa  penentangan terhadapnya adalah lebih daripada niat sebenar untuk terus menerus melindungi kepentingan orang Melayu Bumiputera. Sudah dimaklumi umum bahawa dengan TPPA, misalnya terdapat risiko bahawa prosedur standard mengimport harta intelek ke dalam negara ini akan menjadi lebih ketat. Peningkatan kepada harga ubat-ubatan, misalnya, tidak mungkin hanya dirasai oleh orang Melayu.

Polisi tiada-diskriminasi yang kononnya ingin dicapai menerusi TPPA bukannya menjanjikan penghapusan diskriminasi di peringkat domestic di dalam negara itu sendiri. Sasaran TPPA bila berbicara tentang amalan diskriminasi ialah menghapuskan diskriminasi antara pengeluar tempatan dan asing ataupun antara pengeluar di negara berlainan, dan bukannya sesame pengeluar domestik.

Terdapat dasar Bumiputera yang dipertikaikan terutama yang tidak mebawa kepada pemerkasaan ekonomi Bumiputera. Kita tidak menentang usaha menambah baik dasar yang sedia ada. Terdapat dasar-dasar yang terdedah kepada `political capture’ dan `special interest capture’. Penambahbaikan perlu mengambil kira tindakan yang mengurangkan political capture dan special interest capture tersebut. Namun untuk kita mengubah dasar yang sedia hanya kerana kita tunduk kepada desakan luar adalah satu menjadi satu yang amat malang. Apa yang dibimbangi ialah yang dikejar tidak kesampaian dan yang dikendong keciciran.

4)  TPPA akan membantu menentang gejala korupsi daripada luar.

Persoalan sama ada korupsi berleluasa di negara ini ialah satu soalan yang akan mempunyai jawapan berlainan bergantung kepada siapa soalan itu ditujukan. Tetapi, jika diambil kira tahap ketidakpuasan hati rakyat ke atas perbelanjaan kerajaan dan pendedahan skandal-skandal rasuah yang menggoyangkan parti pemerintah, tidak menjadi satu keanehanlah apabila perjuangan menentang korupsi digunakan sebagai hujah untuk menyokong TPPA. Tetapi adakah perjuangan menentang korupsi satu kemustahilan sehingga pertolongan luar diperlukan untuk memastikan niat suci ini menjadi kenyataan? Dan jika jawapan kepada soalan ini berpihak kepada bantuan pengaruh luar seperti TPPA sebagai cara berkesan menentang gejala rasuah, apakah kawal selia untuk hubungan perdagangan antara negeri mempunyai kaitan dengan usaha menghapuskan ketirisan yang merupakan hasil daripada amalan korupsi di negara ini?

Malah, sebenarnya terdapat aspek kawal selia perdagangan antarabangsa pula yang cenderung kepada korupsi, seperti juga cabang-cabang penguasaan awam dan agensi awam yang lain. Walaubagaimanapun, tugas untuk menentang korupsi perlu diletakkan dibawah kawal seliaan pihak penguasa tempatan. FTA, termasuklah TPPA sepatutnya hanya memggalakkan liberalisasi perdagangan dan menghapuskan halangan-halangan kepada perdagangan bebas. Jika kaedahnya adalah untuk meluaskan skop FTA sehingga menggugat autoriti kerajaan domestic dalam pengawal seliaan setempat, maka menjadi satu kebaikanlah untuk undang-undang anti-korupsi Amerika yang berstandard tinggi dieksport ke dalam negara kita. Tetapi adakah hal ini yang terjadi dalam TPPA yang  sedang berada di dalam rundingan sekarang? Ya, kita cukup berharap supaya TPPA mempunyai satu bab yang menjelaskan polisi-polisi anti-korupsi ahli-ahlinya. Jika tiada, perlukah Amerika pula yang bimbang terhadap amalan korupsi yang wujud dalam sektor kerajaan dan perniagaan di Malaysia?

BANTAH TPPA

Bantah TPPA dilahirkan oleh pelbagai individu dan NGO yang menyedari bahaya dan ancaman yang ditawarkan oleh TPPA. Terlahir atas hasil cadangan BLINDSPOT, MTEM dan jawatankuasa Anti FTA pada Jun 2013, Bantah merupakan gabungan terbesar Anti-TPPA di negara ini kini, dan mendapat sokong penuh 60 buah badan bukan kerajaan dan 9 buah gabungan persatuan contohnya MAC, MCTC, MTUC, MPM, setiap satunya mewakili sekurangnya 50 badan bukan kerajaan.

Bantah juga dianggotai oleh gerakan belia seperti SAMM, SMM dan juga PKPIM, gerakan Islam seperti IKRAM, MAPIM dan ABIM dan beberapa dewan perniagaan Melayu dan Cina.

Bantah ialah gabungan bebas politik yang tidak mempunyai kepentingan politik, kepentingan perniagaan dan tidak mewakili kepentingan kaum atau kumpulan tertentu. Bantah menolak TPPA. Malah, Bantah telah menghantar 75 tuntutan (perkara yang memudaratkan negara) kepada Perdana Menteri, menyatakan yang jika kerajaan masih berkeras untuk menandatangani TPPA, kerajaan didesak untuk memastikan tuntutan ini dipatuhi segera dan tanpa kompromi.

Bantah dianggotai oleh ahli akademik, pakar-pakar perdagangan, pakar undang-undang, pakar kesihatan, aktivis alam sekitar, pakar pempatentan, sarjana dan profesional daripada pelbagai sektor industri dan segmen masyarakat. Semua cadangan dan pandangan Bantah dirujuk kepada pakar-pakar ini yang juga membentuk jawatankuasa Bantah.

Bantah telah bertemu dan akan terus menemui semua pihak daripada segenap lapisan masyarakat;nelayan, petani, peladang, ahli-ahli profesional, semua parti politik, agensi-agensi kerajaan, kementerian-kementerian, para menteri, termasuklah menteri MITI sendiri, malah Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak sekalipun untuk tujuan diskusi dan pencerahan.

Perdana Menteri sendiri telah mengeluarkan kenyataan semasa Dialog Kemuncak APEC di Bali baru-baru ini menyatakan komitmen beliau untuk memastikan bahawa kerajaan akan menimbangkan perjanjian ini berasaskan kepada sokongan rakyat – samaada mereka bersetuju atau tidak dengan perjanjian ini. Bantah mengalu-alukan komitmen ini dan menggesa rakyat untuk meluahkan pandangan mereka. Sertai Bantah!

*Anas Alam Faizli ialah profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli



Comments
Loading...