Masih adakah kesetiaan pada Umno jika tidak berkuasa?


http://i967.photobucket.com/albums/ae159/Malaysia-Today/Mug%20shots/NurJazlanMohamed_zps3c762dce.jpg 

Sebenarnya, isyarat yang diberikan kepada perwakilan Umno kepada barisan kepimpinan tertinggi adalah ‘kami memilih kamu, disebabkan kamu masih berkuasa, jika tidak berkuasa, jangan harap kami akan memilih kamu.  Ia adalah hakikat dan kenyataan pahit  yang perlu ditelan semua pemimpin yang terpilih.

Datuk Nur Jazlan Mohamed

Saya sayangkan parti ini, allahyarham ayahanda saya, Tan Sri Mohamed Rahmat menubuhkan semula Umno pada 1988 dengan keringat dan air mata dan tahun ini, genap 25 tahun, Umno dihidupkan semula selepas diharamkan.

Tahun ini juga pada 19 Oktober lalu, 146,500 perwakilan Umno membuat keputusan untuk memilih barisan kepimpinan parti melalui sistem baru pemilihan dikenali sebagai ‘electoral college’ dalam usaha membuktikan bahawa proses transformasi parti yang diusahakan Presiden parti, YAB Datuk Seri Najib Razak benar-benar berlaku.

Pemillihan sudah diadakan serta keputusan sudah diketahui dan walaupun, saya tidak terpilih dalam barisan 25 Ahli Majlis Teringgi (MT) yang bertanding, saya tetap bersyukur dengan jumlah undi yang diterima.

Saya juga tidak mahu mengulas mengenai perjalanan pemilihan baru ini, yang sebenarnya, masih memerlukan penambahbaikan ketara bagi memastikan ia tidak diketawakan pada masa akan datang.

Sebenarnya, usaha berani Datuk Seri Najib perlu dipuji dan sama ada ia berjaya diterjemahkan ke semua peringkat ahli Umno pada pemilihan kali ini, memerlukan ‘post mortem’ yang mendalam.

Namun, adakah barisan kepimpinan baru Umno ini, benar-benar bersedia untuk membawa dan menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14, yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2018, dua tahun sebelum 2020, wawasan yang diperkenalkan Presiden parti keempat, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Sudah banyak analisis dan pemerhatian dilakukan terhadap barisan kepimpinan baru parti terbesar orang Melayu ini, jadi tidak perlulah saya mengupas lagi dengan panjang lebar.

Apa yang ingin saya katakan sebenarnya, diperkatakan ahli akar umbi parti atau masyarakat yang masih sayangkan Umno adalah 146,500 perwakilan yang memilih masih berfikiran seperti dahulu, tiada yang berubah.

Mereka masih memilih barisan kepimpinan yang memegang jawatan dalam kerajaan atau mempunyai tempat dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), tiada perubahan dalam ‘status quo’ parti.

Inikah dimahukan ahli akar umbi parti yang berjuang demi agama, bangsa dan negara dengan menjadi tulang belakang parti setiap Umno memasuki medan perang PRU.

Sebaik sahaja keputusan diumumkan pada 20 Oktober lalu, iaitu hari Ahad, seorang ahli akar umbi datang berjumpa saya dan dalam perbualan kami, beliau menyatakan kehairanan dengan pengekalan status quo dalam barisan kepimpinan parti.

Saya bertanya apakah maksud beliau itu?

Ahli Umno itu menyatakan “Adakah 146,500 perwakilan Umno sedar bahawa barisan kepimpinan yang baru dipilih itu, adalah barisan yang sama membawa Umno menghadapi PRU 13, dan mereka ini, mengakibatkan parti mendapat keputusan pilihan raya lebih buruk berbanding tahun 2008.”

Sebenarnya, apabila diteliti pandangan beliau itu, ia tidaklah berapa tepat memandangkan parti Umno daripada segi statistik kerusi yang dimenangi dalam PRU 13, adalah lebih baik  daripada PRU 12, selepas berjaya mendapat 88 kerusi berbanding 77 kerusi..

Namun sebagai parti yang menjadi tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN), Umno tetap perlu memikul tanggungjawab kerana prestasi yang buruk berbanding 2008, selain kalah dalam undi popular. 

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...