Sekarang Anwar kata Pakatan akan laksana GST bila perintah, namun bersyarat
(TMI) – Pakatan Rakyat (PR) akan turut melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila mereka memerintah kelak kerana ia sistem percukaian yang efisien, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar bagaimanapun menegaskan, perkara itu hanya akan berlaku dengan syarat kerajaan menghentikan gejala rasuah, kebocoran dan juga monopoli yang kini dilihat berleluasa dan tidak sesuai untuk melaksanakan GST.
“Kita kata ketelusan. PR akan hentikan rasuah, kebocoran dan monopoli. Hentikan ini dulu. Kemudian usahakan taraf hidup rakyat,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur.
“Dua faktor ini perlu diberi tumpuan,” katanya dan menambah pembangkang juga tidak akan melaksanakan GST sekarang kerana ia tidak munasabah.
“Bila kita dalam defisit kita akan fikiran perolehan. Ia akan ambil masa yang lama untuk mengatasi defisit,” kata ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.
Tempoh 17 bulan menjelang pelaksanaan GST pada April 2015 juga tidak cukup untuk melaksanakan cukai berkenaan kata Anwar selagi masalah berkenaan gagal diatasi.
“Dengan situasi ekonomi sekarang apa yang boleh kita buat? Beri kita capai kedudukan yang selesa, kalau tidak capai bajet surplus pun beri kita selesa dahulu,” kata Anwar.