Pendirian saya tetap, kata Harun Taib


“Mungkin kerana saya pertahankan isu kalimah ALLAH itu, menyebabkan mereka terus memilih saya.”

(Sinar Harian) – Penyandang Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sedia menggalas tanggungjawab tersebut semula pada pemilihan Pas kali ini, namun masih menunggu notis pencalonan.

Menurutnya, beliau juga tidak mengetahui punca kenapa dirinya masih dipilih untuk jawatan tersebut walaupun dirinya pernah terlibat dalam beberapa isu sebelum ini.

“Mungkin kerana saya pertahankan isu kalimah ALLAH itu, menyebabkan mereka terus memilih saya. Nak kata saya ketuai parti dengan baik, rasanya saya yang paling mundur. Tapi Insya-ALLAH, saya akan jalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai namanya mendahului senarai calon yang layak bertanding pada pemilihan Dewan Ulama Pas Pusat pada 22 hingga 24 November ini bersempena Muktamar Tahunan Pas kali ke- 59 yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Asmuni Awi, semalam.

Harun berkata, beliau juga akan tetap dengan pendirian mengenai isu kalimah ALLAH kerana ia berkaitan dengan akidah Islam.

“Saya akan teruskan pendirian saya sama seperti sebelum ini, walaupun ada pemimpin Pas lain tidak sependapat dengan saya.

“Saya tengok diri saya bukan berdasarkan orang lain, tetapi ia berkaitan akidah,” katanya.

Tambahnya, dalam isu ‘tahaluf siasi’ dengan PKR, cadangan tersebut sebenarnya adalah untuk Dewan Ulama membuat kajian terperinci.

“Saya rasa perlu ada kajian terperinci, mana-mana yang longgar perlu dikemaskan, kalau dah kemas, perkukuhkan lagi.

Bukan bermakna bercerai. “Mereka mungkin salah faham dengan maksud saya, atau itulah cara untuk serang saya.

Saya terima serangan cara begini kerana yang menilainya adalah masyarakat,” katanya.

Beliau turut berharap, jika terpilih, perkara utama adalah meneruskan perjuangan parti sampai ke matlamatnya.

“Insya-ALLAH jika sihat badan, panjang umur, saya akan teruskan perjuangan parti sampai ke akhirnya,” katanya.

Terdahulu, Harun dikecam apabila Majlis Syura bertegas menolak kalimah ALLAH digunakan masyarakat bukan Islam walaupun diminta mempertimbangkan keputusan tersebut.

Isu tersebut turut dibawa ke mahkamah yang mana keputusan berpihak kepada larangan menggunakan kalimah ALLAH bagi majalah mingguan The Herrald.

Harun menegaskan, masyarakat bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah ALLAH yang hanya khusus untuk agama dan umat Islam dan tetap mempertahankan pendiriannya menyokong keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam majalah tersebut.

September lalu, Harun turut dikecam apabila dalam ucaptama beliau mahu Pas mengkaji semula ‘tahaluf siasi’ (kerjasama politik) dengan PKR di dalam PR, selepas sokongan pengundi Melayu kepada Pas merosot pada PRU13.

 



Comments
Loading...