Bajet dan Realiti


http://secebiswaras.files.wordpress.com/2013/11/najib-bajet2014-7855621.jpg?w=572 

BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1200 seisi rumah, akan dibayar RM650. Golongan bujang yang dijanjikan BR1M RM600, hanya akan mendapat RM300. Baucher Buku 1Malaysia yang dijanjikan meningkat kepada RM300, kekal pada RM250. Tiada pengumuman mengenai langkah-langkah kerajaan dalam menurunkan harga kereta. Apatah lagi janji-janji samar seperti persekolahan satu sesi dan penambahan 3.3 juta peluang pekerjaan. Hampir kesemua janji-janji BN tidak ditepati.

Secebis Kewarasan

Pembentangan Belanjawan adalah acara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Belum pun belanjawan diumumkan, media perdana dan elektronik tidak putus-putus meramal itu dan ini. Di kaca televisyen, profesor-profesor dan pakar-pakar ekonomi, mula sibuk berdiskusi .

Di kedai-kedai kopi pelbagai ramalan dibincangkan dengan hangat hingga ke awal pagi. Keterujaan ini turut merebak ke alam maya. Ramalan-ramalan di facebook, twitter dan whatsapp, tidak kurang sensasinya.

Di tampuk pemerintahan, Menteri Kewangan berdolak dalih apabila ditanya tentang isi belanjawan. Respon yang paling kerap diberinya hanyalah sekuntum senyuman – yang mungkin bererti,‘tunggulah dulu. Barulah ada kejutan!’

Pihak pembangkang juga tertanya-tanya, Dengan maklumat yang ada, mereka mencongak-congak dan memerah otak bagi menerbitkan bajet bayangan yang lebih meyakinkan. Walaupun usaha ini tidak akan mengubah keputusan kerajaan, ia tetap dilakukan hingga ada yang tak tidur malam.

Tiba hari pembentangan, media memenuhi Parlimen. Menteri Kewangan dan para menteri kabinet mengenakan baju melayu berwarna-warni. Posing yang sama – memegang briefcase atau teks ucapan – dilagakkan bertahun-tahun oleh si Menteri Kewangan; sejak Tun Daim hingga kini, DS Najib.

Semasa pembentangan, sidang Dewan Rakyat yang selalunya berapi-api menjadi dingin. Menteri Kewangan fokus membacakan teks belanjawan, risau tersimpul lidah dengan istilah-istilah rumit didalamnya. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain tampak memberi sepenuh perhatian. Entah faham atau tidak? Yang dirumah – lagilah!

Selesainya pembentangan, keterujaan terus memuncak. Media-media perdana; televisyen dan akhbar kerajaan sibuk menyimpulkan ucapan belanjawan bagi memudahkan rakyat faham. Semuanya baik belaka. Kata mereka, ‘Inilah belajawan yang terbaik di dunia’. Sebaliknya, media-media pro-pembangkang menghentam habis-habisan. Tiada apa yang baik. Mereka mengisytiharkan bahawa,‘Belanjawan ini akan membankrapkan negara’.

Dewan Rakyat kembali hangat apabila belanjawan dibahaskan. Habis semua angka dibahaskan. Trendperbahasan sebenarnya mudah untuk diramal. Ahli-ahli dewan Barisan Nasional (BN) akan puji melambung-lambung lalu menyokong belanjawan tersebut. Wakil Rakyat Pakatan Rakyat (PR) pula membangkang habis-habisan.

Di luar dewan, serata Malaysia, rakyat turut serta berbahas sesama sendiri di kedai-kedai kopi,facebook, twitter dan juga whatsapp. Kadangkala, kehangatan perdebatan mereka mengalahkan perbahasan Dewan Rakyat.

Begitulah negara kita pada musim belanjawan. Dari yang di atas, hingga ke bawah – semuanya teruja.

Tetapi percayalah, keterujaan ini akan surut begitu sahaja seketika nanti. Hidup rakyat akan kembali seperti sediakala (susah). Pemimpin-pemimpin politik akan membawa rakyat keseluruhannya berhijrah dan teruja kepada, dan dengan isu-isu lain pula. Peruntukkan yang diumumkan akan dibazirkan. Laporan Audit Negara yang menyusul akan melaporkan ketirisan melampau seperti, atau lebih buruk dari tahun sebelumnya.

 

Belanjawan kerajaan BN yang tiada pembaharuan

Meninjau ucapan belanjawan 2014, tiada banyak yang baru. Format dan intipatinya seakan sama dengan tahun lepas. Sekali lagi, kerajaan membentangkan belanjawan defisit; meletakkan peruntukkan besar (RM 264.2 billion) berbanding unjuran pendapatan yang lebih kecil (RM 224 billion), dengan kadar kerugian (defisit fiskal) sebanyak 3.5%.

Seperti biasa, pelbagai skim dan insentif baru diperkenal. Subsidi– subsidi dikurangkan, manakala BR1M diteruskan. Penyelarasan cukai, yakni ada cukai yang naik dan ada cukai yang turun, dilakukan sekadar untuk membuka jalan kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa April 2015. Mungkin GST ini sahaja yang baru. Selainnya tetap sama; pengumumam bonus penjawat awam, peningkatan elaun pesara dan sebagainya.

Kadar inflasi (2-3%) dan kadar pengangguran (3.1%) yang diumumkan sedikit meragukan. Angka-angka (kecil) ini tidak mencerminkan keadaan sebenar. Nilai matawang menjunam jika dilihat dari sudut kuasa membelinya. Jika tahun lepas sebungkus nasik campur boleh dibeli dengan harga RM5, tahun ini nilai nasik bungkus dengan lauk-lauk yang sama meningkat ke RM7.50. Peningkatan harga barang-barang makanan yang lain juga begitu. Mungkin pakar-pakar ekonomi boleh memutar-mutar angka dan fakta untuk membenarkan kadar inflasi yang rendah itu, tetapi hakikatnya, kesan inflasi yang ditanggung rakyat di bawah ini adalah lebih tinggi, jauh lebih tinggi dari 2-3%.

Melalui pemerhatian saya, pengangguran juga lebih besar dari peratusan yang diumumkan. Sejak 10 tahun yang lepas, banyak kedengaran kisah-kisah sedih pekerja dibuang kerja. Petronas, syarikat terbesar negara pun tidak dapat lari dari membuang pekerja-pekerjanya. Graduan-graduan baru sukar mendapat pekerjaan. Beratus ribu graduan baru masih terkial-kial mencari pekerjaan. Belum lagi graduan-graduan tahun-tahun lepas yang masih menganggur. Kebanyakkan mereka kini hanya mampu menunggu surat saman dari PTPTN – skim yang memerah duit rakyat bagi mengayakan tauke-tauke IPTS.

Belanjawan 2014 juga menjadi bukti kegagalan kerajaan BN mengotakan janji-janji pilihanraya umum (PRU) yang lalu. BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1200 seisi rumah, akan dibayar RM650. Golongan bujang yang dijanjikan BR1M RM600, hanya akan mendapat RM300. Baucher Buku 1Malaysia yang dijanjikan meningkat kepada RM300, kekal pada RM250. Tiada pengumuman mengenai langkah-langkah kerajaan dalam menurunkan harga kereta. Apatah lagi janji-janji samar seperti persekolahan satu sesi dan penambahan 3.3 juta peluang pekerjaan. Hampir kesemua janji-janji BN tidak ditepati.

Ironinya, BN masih melaung-laungkan slogan ‘Janji Ditepati’. Strategi mengulang-ulang pembohongan melalui poster, iklan, slogan, lagu-lagu dan filem patriotik; bagi mengolah persepsi, sudah ketinggalan zaman. Kini, setiap fakta perlu berasaskan bukti. Rakyat sudah pandai dan tidak mudah diperbodohkan seperti dulu.

 

Belanjawan Pakatan Rakyat yang kurang sengatnya

Bajet PR yang diumumkan sehari sebelum pembentangan belanjawan negara dilihat sedikit tawar dan mendatar. Tidak seperti bajet-bajat PR pada tahun-tahun lalu, bajet PR kali ini tidak setajam dan kurang sengatnya. Ia tidak membayangkan ketelitian kerja yang sinonim dengan PR. Tiada idea-idea mahupun konsep-konsep segar seperti yang biasa diketengahkan oleh PR. Ia terlalu ringkas mengikut standard PR yang biasanya komprehensif. Ia juga tidak menyatakan tindakan-tindakan yang akan diambil bagi melunaskan manifesto PRU PR yang sememangnya lebih populis dari BN.

Terdapat beberapa sebab mengapa Bajet PR kali ini kurang sengatnya?  Pertembungan sengit pada PRU yang lepas telah melemahkan stamina mereka. Ia ditambah lagi dengan kekecewaan gagal mengambil alih Putrajaya. Dana yang tinggal pun sudah berkurangan. Dengan kata lain, PR sekarang sedang keletihan.

Tiadanya PRU pada masa tersingkat memberi PR sedikit masa menghirup udara bagi memulihkan semangat dan tenaga. Jika pun segala daya ditumpukan untuk menghasilkan bajet yang kompetetif, intipati bajet tersebut akan diabaikan kerajaan. Pada tahun-tahun yang lalu, bajet-bajet yang canggih sekurang-kurangnya dapat meningkatkan imej dan kredibiliti PR sebagai kerajaan yang berwibawa. Saya bersangka bahawa sebab mengapa kurangnya sengat pada bajet PR kali ini bukanlah kerana malas atau sikap sambil lewa, tetapi ia adalah keputusan strategik setelah mengambil kira faktor-faktor keletihan, kekurangan sumber dan kecilnya impak bajet PR terhadap keputusan kerajaan – demi survival politik.

Ketiadaan tokoh yang menjuarai isu-isu ekonomi seperti Rafizi Ramli yang menunaikan Haji, dan Dr. Dzulkifli yang kecundang pada PRU lepas, mengurangkan lagi tarikan kepada bajet PR kali ini. DS Anwar Ibrahim pun sering ke luar negara semasa keterujaan terhadap belanjawan memuncak.

Read more at: Bajet dan Realiti 



Comments
Loading...