Kelantan sedia laksanakan hukum Hudud


Kita tidak menetapkan tarikh akhir bila kita akan laksanakannya, banyak perkara yang perlu dikaji oleh jawatankuasa ini sebelum Hudud dilaksanakan

Ikhwan Zulkaflee, FMT 

Kerajaan negeri Kelantan bersedia melaksanakan hukum Hudud setelah Jawatankuasa Teknikalnya selesai menjalankan kajian mereka.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri Kelantan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal itu bagi mengkaji pelaksanaan hukum Islam yang terkandung di dalam Al-Quran itu di negeri yang telah diperintah oleh Pas selama lebih 20 tahun.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan fungsi jawatankuasa yang dimaksudkan dengan lebih terperinci.

“Kita memang dah siapkan beberapa persiapan asas kearah melaksanakan hukuman Hudud di Kelantan. Kita dah tubuhkan Jawatankuasa Teknikal. Jawatankuasa ini akan mengkaji pelaksanaan hukum tersebut,” katanya apabila dihubungi FMT hari ini.

Mohd Amar juga masih berteka-teki bila Kerajaan negeri Kelantan akan melaksanakan hukum Hudud di negeri tersebut.

“Kita tidak menetapkan tarikh akhir bila kita akan laksanakannya, banyak perkara yang perlu dikaji oleh jawatankuasa ini sebelum Hudud dilaksanakan. Nanti bila dah siap semua, Menteri Besar akan buat satu sidang media,” terang beliau.

Apabila disoal mengenai kesediaan rakyat Kelantan untuk menerima pelaksanaan hukum Hudud, Mohd Amar berkata reaksi yang positif diterima oleh kerajaan negeri dari semua pihak, termasuk rakyat bukan Muslim di negeri itu.

“Setakat ini dianya diterima baik. Kita mendapat reaksi yang positif dari semua rakyat, Muslim dan bukan Muslim,” beliau berkata.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kesedia rakyat Malaysia secara keseluruhan dengan pelaksanaan Hudud di Kelantan.

“Bagi kesediaan rakyat di luar Kelantan kita tak tahulah, (mereka) bukan dibawah bidang kuasa kita,” katanya lagi.

Mohd Amar, yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas II Kelantan turut berharap kerajaan pusat tidak menghalang Kerajaan negeri Kelantan dari melaksanakan hukum Hudud di negeri tersebut nanti.

“Betul, memang dulu kerajaan pusat dah halang (dari melaksanakan hukum Hudud). Kita harap kali ini kerajaan pusat beri kerjasama dan perkara lalu tak akan berulang,” beliau menambah.

Semalam, Ketua Hakim Syarie negeri Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum Hudud lantaran daripada prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.

Daud bagaimanapun berkata hakim-hakim khas perlu dilantik, menepati dengan tuntutan hukum Hudud sendiri dan perlu mendapat kelulusan dari kerajaan negeri sebelum hukum Hudud ataupun Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 boleh dilaksanakan.

 



Comments
Loading...