Siti Zailah: Hudud selesaikan krisis moral dan jenayah


Sepatutnya sudah lama ia dapat dilaksanakan namun kerana tekanan dan amaran dari Kerajaan Persekutuan ketika itu, ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke hari ini.

(FMT) – Dewan Muslimat Pas Negeri Kelantan berkata sudah tiba masanya Kelantan menerajui perubahan menjadi contoh dalam perlaksanaan hukum Islam ini sebagai penyelesaian terhadap krisis moral dan jenayah yang semakin membarah dalam negara kita.

Menurut ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, sebelum ini Sultan Brunei telah meluluskan perlaksanaan Hukum Hudud di Brunei.

“Kanun Jenayah Syariah ll yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan sejak 1992 lagi sepatutnya sudah lama dapat dilaksanakan namun kerana tekanan dan amaran dari Kerajaan Persekutuan ketika itu, ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke hari ini,” katanya dalam Facebook beliau mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad semalam yang mengatakan mahkamah itu sudah bersedia melaksanakan hukum hudud.

Beliau sangat gembira dengan kenyataan Daud dan beliau amat mengalu-alukan perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan bagi membendung masaalah sosial hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berharapan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi kerjasama dalam perlaksanaan ini.

“Hukum Hudud adalah satu hukuman yang mendidik dan mencegah yang paling berkesan bertepatan dengan kehendak al-Qur’an,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu beliau berharap janganlah ianya disalahertikan oleh musuh yang sering bersangka buruk terhadap Islam.

 



Comments
Loading...