Sultan Selangor gesa Herald, Bible Melayu henti guna kalimah Allah


Mohd Farhan Darwis, TMI

Akhbar mingguan Katolik, Herald dan Bible versi bahasa Melayu perlu menghentikan penggunaan Allah dalam akhbar mingguan dan kitab berkenaan kerana kalimah itu adalah perkataan yang khusus untuk umat Islam, kata Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas persidangan di Dewan di-Raja Selangor pada 11 November lalu, berkata rakyat negeri Selangor tanpa mengira kaum dan agama perlu akur dan patuh kepada larangan menggunakan kalimah berkenaan.

“Baginda juga menasihatkan mana-mana pihak tidak mengambil kesempatan menjadikan kalimah Allah ini sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ini ialah satu kalimah suci dan melibatkan akidah umat Islam,” kata kenyataan berkenaan yang dikeluarkan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, di Shah Alam.

Baginda turut bertitah bahawa isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

Ini adalah kali kedua baginda mengeluarkan arahan seumpama itu berhubung isu penggunaan kalimah Allah di Selangor.

“Umat Islam digesa supaya merapatkan barisan dan bersatu padu dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah dan menghalang segala usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakan dan menghina kalimah Allah yang suci ini,” kata baginda.

 



Comments
Loading...