Hudud – Kelantan sedia RM1j untuk pelaksanaan


(KL Post) – Kerajaan Kelantan sedang menunggu maklum balas beberapa pihak, termasuk pakar perlembagaan, sebelum melaksanakan hukuman itu di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pihaknya serius merealisasikan hukuman itu, termasuk memperuntukkan RM1 juta dalam Bajet 2014, bagi membeli dan menyiapkan prasarana berkaitan pelaksanaan hukuman itu.

Beliau mengakui atas sebab-sebab tertentu, termasuk kekangan Pusat, pihaknya sebelum ini menangguhkan sementara usaha tersebut, namun kini kembali mengerakkan kerja untuk melaksanakannya.

“Sebelum ini kita berhenti kerana lampu merah (sekatan). Kita ‘free gear’ tetapi tidak matikan (enjin) kereta, oleh kerana lama sangat, jadi kita intai kalau-kalau polis tiada. Sekarang kita akan teruskan dengan harapan polis tidak sekat.

“Sebenarnya sebelum pilihan raya umum (lalu), kita telah beberapa kali bincang tetapi tidak dedahkan, untuk tahun depan Menteri Besar telah masuk RM1 juta dalam bajet untuk persiapan prasarana bagi melaksanakan hudud.

“Kita tengok keperluan untuk laksana hudud tetapi nak buat, kena dapatkan pandangan pakar dahulu, termasuk pensyarah universiti dan pengamal undang-undang. Insya-ALLAH mereka akan bagi pendapat dan selepas itu kita akan laksanakan,” katanya pada kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Muhammad, yang menyatakan kesediaan pihaknya kuat kuasa hudud selepas bangunan kompleks Mahkamah Syariah di Tunjung beroperasi.

Semalam, seorang pendakwah dan pensyarah, Dr Abdul Basit Abdul Rahman menyarankan kerajaan Kelantan menetapkan masa bagi merealisasikan hukuman itu dengan menjadikan Brunei sebagai contoh.

Nik Mohd Amar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, berkata pihaknya tidak mahu melaksanakan hukuman itu tergesa-gesa, sebaliknya mengikut kaedah dan tertib bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Berhubung saranan Kelantan mengikuti langkah Brunei, beliau berkata, orang ramai tidak boleh membuat persamaan kerana Kelantan hanya sebuah negeri, sebaliknya Brunei adalah sebuah negara diperintah Sultan yang mempunyai kuasa penuh.

“Kelantan adalah sebahagian Malaysia. Kita terikat dengan undang-udang dan perlembagaan. Brunei adalah negara dan sultan berkuasa mutlak. Kita di Kelantan tidak begitu. Raja ada batas, cuma kita akui tindakan Brunei bagi semangat dan iltizam kepada kita,” katanya.

Nik Mohd Amar berkata, Kanun Jenayah Kelantan (II) Kelantan yang diluluskan Dun bukan sahaja diambil daripada mazhab Syafie, tetapi diadunkan daripada mazhab lain mengikut kesesuaian. 

 



Comments
Loading...