Rakyat mahu Anwar beri penjelasan


(Sinar Harian) – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) mendesak penjelasan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan ‘Tuhan kita sembah semua sama’ dalam ucapan pada tahun 2010 berhubung isu kalimah ALLAH yang kini dimuat naik semula di internet menerusi laman-laman sosial.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, kenyataan itu ternyata mengelirukan kerana sebagai seorang Islam, ALLAH tidak sama dengan tuhan yang bukan Islam dan begitu juga yang sebaliknya.

Menurutnya, beliau tidak faham tujuan ayat itu dinyatakan dan ditujukan kepada siapa kerana ia mampu mengundang pelbagai persepsi.

“Dalam sedutan rakaman yang dimuat naik oleh blogger seperti mana yang saya tonton melalui Facebook, Anwar berucap di mana orang-orang sekelilingnya terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Sebagai orang Islam, tuhan kita hanya ALLAH SWT, mengapa disamakan dengan tuhan yang lain. Jadi kami amat terkejut dan sedih dengan kenyataan itu,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kerana video berkenaan boleh ditonton oleh generasi akan datang selagi ia wujud di internet.

Katanya, hal berkaitan agama tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Ini boleh disifatkan sebagai menyekutukan ALLAH SWT kerana menyamakan dengan yang lain,

“Jadi saya harap pihak jabatan agama Islam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini,” katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama kira-kira 15 ahli MJMM.

 



Comments
Loading...