Hudud di Kelantan: Najib belum halang, kata Ketua Hakim Syarie


Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata beliau yakin undang-undang Hudud di negeri Kelantan boleh dilaksanakan memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak belum lagi menentang hasrat tersebut.

Daud berkata, pelaksanaan undang-undang Islam di negeri wajar kerana diluluskan oleh semua wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kalau pusat halang, DUN tidak lulus, BN (Barisan Nasional) pun tidak halang.

“Dulu Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) sahaja yang dikatakan tidak lulus, PM sekarang ini tak dengar lagi dia kata tak boleh,” katanya  yang dipetik dalam satu wawancara khas dengan akhbar milik Umno edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau juga bertegas keputusan yang dibuat adalah sebulat suara, iaitu PAS, Umno dan BN bersetuju dengan pelaksanaan hukum Hudud di negeri tersebut.

Di samping itu, Daud mempertahankan undang-undang Islam sebagai sesuai dengan peredaran arus zaman kerana ia dibuat oleh Tuhan.

“Islam sesuai untuk setiap zaman, setiap masa, setiap keadaan, apa jua boleh laksana, Tuhan lebih mengetahui.

“Dia (Tuhan) buat undang-undang masa berlaku macam mana, kalau tidak tak ada ertilah, hanya undang-undang manusia sahaja masa tertentu sesuai masa lain pula tak sesuai,” katanya.

Apabila ditanya mengenai bangkangan dan tentangan terhadap hasrat untuk melaksanakan Hudud, Daud berkata, ia sememangnya sudah dijangka akan berlaku.

“Itu mana-mana pun ada, undang-undang negara sekarang mana ada orang tak menentang,” katanya.

Rabu lalu, Daud berkata, Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum Hudud lantaran prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.

Selepas pengumuman tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyahutnya dengan baik dan berkata, kerajaan negeri Kelantan sudah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal itu bagi mengkaji pelaksanaan hukum Islam yang terkandung di dalam Al-Quran itu di negeri yang diperintah PAS sejak lebih  20 tahun.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...