25 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam


(Malaysian Times) – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyelar kenyataan pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari bahawa Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah.

Ahli MAIS, Datuk Aidit Ghazali berkata kenyataan oleh bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu nyata bersifat berat sebelah dan condong kepada pembangkang.

Aziz Bari sebelum ini berkata pemerintah negeri di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menggantung atau menafikan hak beragama bukan Islam yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan, lapor laman portal  Antarapos.

Beliau berkata demikian beberapa hari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar akhbar mingguan Katolik, The Herald dan kitab Bible versi Melayu dihalang daripada menggunakan kalimah Allah.

Titah Baginda selari dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober yang memutuskan The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam sebarang penerbitannya.

Aidit berkata, Aziz Bari perlu akur pada peranan Baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri itu.

“Dia (Dr Aziz) tak ada apa-apa kuasa, tapi Tuanku ada kuasa. Dalam hal ini kita kena lihat apabila Tuanku bertitah, Tuanku tidak bertitah dengan apa-apa sandaran memihak kepada pandangan politik tapi Dr Aziz kita semua tahu inklinasi beliau pada politik pembangkang.

“Justeru apabila orang membuat sesuatu kenyataan dan bersandarkan kepada sesuatu inklinasi politik, maka pandangan itu bersifat prejudis,” katanya.

Aidit selain itu berkata, titah Sultan Selangor perlu dilihat dari semua aspek bagi memelihara kesucian agama Islam.

Baginda juga merujuk kepada apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah, ijmak para ulama serta fatwa-fatwa yang diwartakan di peringkat negeri dan kebangsaan, sebelum bertitah sedemikian, ujar Aidit.

“Pendapat Dr Aziz Bari ialah pendapat peribadi beliau. Apabila Tuanku Sultan Selangor membuat titah sedemikian rupa, Baginda mengambil kira dari pelbagai aspek, bukan sahaja aspek perlembagaan persekutuan, tetapi dari aspek apa yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah dan Ijmak Ulama, serta aspek fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa yang diwartakan di peringkat negeri serta aspek kuasa Baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor.

“Ada pakar-pakar sehebat Dr Aziz malah ada yang lebih hebat yang sebenarnya mengiyakan dan menyokong apa yang telah dititahkan oleh Tuanku Sultan Selangor,” jelasnya lagi.

Aidit kemudiannya mengingatkan Selangor sebelum ini meluluskan Enakmen Agama Buakn Islam (Kawalan dan Sekatan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) 1988 yang menetapkan 25 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Perkataan itu adalah Allah, Illahi, Rasul, Fatwa, Firman Allah, Wahyu, Iman, Ulama, Mubaligh, Dakwah, Nabi, Hadith, Syariah, Injil, Sheikh, Ibadah, Qiblat, Salat, Kaabah, Haji, Khalifah, Kadi, Mufti, Wali dan ibadah.

 



Comments
Loading...