Pas terus jadi Pak Pandir selagi tunduk kepada DAP


http://i.imgur.com/vZ6LqSe.jpg 

(Sinar Harian) – KETUA Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mendakwa, muktamar tahunan Pas kali ke-59 sekadar pentas retorik pemimpinnya untuk membaharui isu lapuk yang tidak menyentuh kepentingan rakyat.


Katanya, Pas selama ini gagal menerajui gerakan massa untuk kepentingan dan masa depan orang Melayu.

“Pas sekadar medium mengatur kepimpinan masa depan parti itu dengan menonjolkan golongan liberal yang sealiran pemikirannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Beliau berpendapat, matlamat asal perjuangan Pas sudah jauh terpesong sebaik parti itu menyebelahi gerakan politik jalanan  Anwar.

Menurutnya, pemimpin tertinggi Pas tidak akan mendengar bantahan dan suara akar umbi.

Tambah beliau lagi, keupayaan Pas yang kononnya memperjuangkan kepentingan umat Islam sekadar menjadi pengucapan ilmiah tetapi pada sisi politik ternyata gagal.

Syed Ali mendakwa, Pas ternyata lebih berkiblat kepada DAP sebagai ‘abang besar’ dalam PR yang turut didominasikan oleh PKR pimpinan Anwar.

“Penyertaan Pas dalam PR dan sikapnya yang tergamak melutut kepada DAP menyebabkan orang Melayu khususnya umat Islam mula menjauhi parti itu,” katanya.

Beliau menyebut betapa Pas telah mengecewakan pengikutnya sendiri apabila pemimpin mereka tidak berupaya untuk berdepan dengan cabaran politik semasa terutama onar DAP dan PKR.

Sebagai contohnya kata beliau, Pas menjadi ‘tikus’ apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terbuka mahu parti politik termasuk Pas yang menggunakan agama dibatalkan pendaftarannya.

“Pemimpin mereka (Pas) tidak berani bersuara sedangkan ahli-ahlinya mahu parti itu keluar daripada PR kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan penghinaan DAP,” katanya.

Justeru kata Syed Ali, muktamar tahunan Pas kali ini tidak menjanjikan lontaran idea yang bernilai untuk rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

“Cadangan pelaksanaan hukum hudud juga pada saya akan menjadi isu yang dipanaskan semula sebagai menutup kepincangan parti itu,” tambanya.

Malah secara sinis beliau menjangkakan muktamar Pas itu juga tidak berupaya untuk ‘mengajar’ Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum ini didakwa telah ‘buat tahi’ dalam PR.

Pas dakwa beliau lagi, akan berterusan menjadi ‘Pak Pandir’ selagi bertuankan DAP selaku ‘abang besar’ dalam PR.

 



Comments
Loading...