PAS perlu berhenti “menangis seperti bayi” jika mahu perintah Malaysia


“Semasa PAS memerintah Kedah pada penggal lalu, jawatan apakah yang diberikan mereka kepada DAP? Begitu juga dengan di Kelantan, walaupun DAP mempunyai ahli di negeri berkenaan, tidak pernah pula terdengar mereka ‘merengek’ meminta sesuatu. Ini patut dihentikan.”

Amin Iskandar, TMI

PAS perlu membuat keputusan sama ada mereka mahu bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya atau terus “menangis seperti bayi” dan menjadi “penumpang” dalam usaha mengalahkan Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah Malaysia sejak negara mula merdeka.

Perwakilan PAS Pulau Pinang, Mohd Raduan Ramli (gambar) semasa perbahasan ucapan Ketua Pemuda PAS semalam terus “membelasah” rakan PR DAP dan mendakwa mereka sekadar menumpang dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Sedangkan masih banyak yang perlu dilakukan PAS seperti mempertingkat usaha untuk memenangi sokongan golongan muda Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang, seperti kata bekas Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan semasa ucapannya dua hari lalu.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, kebanyakan negeri termasuk yang diperintah PR di Pulau Pinang, merekodkan kurang 50 peratus undi golongan muda menyokong pakatan pembangkang itu dalam Pilihan Raya 2013 lalu.

Keputusan pilihan raya umum dari 1999 hingga 2013 menunjukkan dengan jelas pola pengundian terhadap PAS.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramah di Selangor baru-baru ini menyedari  hakikat kekuatan PAS apabila berkata secara sinis: “Jika PAS keluar dari Pakatan, maka PAS akan menjadi lebih kuat. Tetapi jajahan takluk PAS hanya bermula dari Rantau Panjang dan berakhir di Kemaman.”

Pergantungan kepada undi Melayu sahaja, keputusan terbaik yang boleh PAS perolehi adalah seperti pada 1999 iaitu 27 kerusi Parlimen dan menguasai dua negeri; Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya 1999 tidak akan memberikan kelebihan kepada PAS jika Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Pemecatan Anwar menyebabkan 55 peratus undi Melayu beralih kepada Barisan Alternatif (BA) yang pada ketika itu dianggotai PAS, DAP, PRM dan Parti Keadilan Nasional (PKN) berikutan kekuatan pengaruhnya di kalangan Umno.

Tetapi, tanpa sokongan bukan Melayu, BA gagal menawan Malaysia pada 1999 apabila hanya menguasai 42 kerusi Parlimen (PAS 27, DAP 10 dan PKN 5).

Pilihan Raya 2004 pula menyaksikan PAS hanya tinggal tujuh kerusi Parlimen, PKR satu sementara DAP pula sudah keluar dari BA dan mempunyai 12 kerusi Parlimen.

Jumlah kerusi Parlimen BA hanya lapan berbanding sebelumnya akibat peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bebasnya Anwar dari penjara selepas Pilihan Raya 2004 memberikan harapan baru kepada pakatan pembangkang di Malaysia.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...