Mimpi dan Realiti PPPM 2013-2025 – Bahagian II


http://blog.core-ed.org/derekarchives/Smart%20Schools.jpg

Persoalannya, mengapa hal ini dibiarkan berlarutan agak lama sehingga para pelajar kita sendiri dijadikan bahan ujikaji dan bahan eksperimen yang belum tentu berjaya terhadap sistem-sistem yang pelbagai rupa? 

Ahmad Syafiq Amir

Dalam tulisan saya di Bahagian pertama yang lalu, saya telah sebutkan secara jelas situasi serta Laporan PISA dan TIMMS yang memeranjatkan banyak pihak dengan keadaan semasa sistem pendidikan kita. Lebih mendukacitakan saya sebagai salah seorang ahli masyarakat ialah apabila hambarnya penglibatan mahasiswa mahupun para bakal guru untuk tampil ke hadapan membincangkan isu ini secara lebih serius dalam mencari konklusi yang jitu. Maka dalam tulisan saya di bahagian kedua ini, suka saya melihat dan mengajak para mahasiswa di luar sana merenungi Falsafah Pendidikan Cinta dan bagaimana manusia yang bergelar mahasiswa harus segera bangkit dan bukan harus nyenyak didakap mimpi yang ternyata fantasi.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Cinta

Semua yang pernah melalui pendidikan formal tentunya mengetahui apa itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dihafal sejak di bangku sekolah lagi. Tidak perlulah saya menulis kembali setiap patah perkataan yang terdapat dalam FPK ini kerana anda dapat mencari dan membacanya di mana-mana walaupun pada kulit buku latihan anak-anak sekolah.

Tetapi, saya terpanggil untuk bicara di sini lima prinsip teras yang terdapat dalam FPK tersebut, iaitu usaha berterusan untuk memantapkan Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial para pelajar, sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah akhir hayat.

Walau bagaimanapun, suatu kepincangan yang ketara dilihat apabila sistem pendidikan yang diamalkan sejak berdekad-dekad ini lebih mementingkan hanya satu aspek, iaitu aspek Intelek semata-mata. Di mana silapnya sehingga empat aspek yang juga terdapat dalam FPK ini tidak diambil serius dan seolah-olah dilupakan dalam sistem kita sendiri.

Lebih malang, sistem penilaian yang hanya berasaskan peperiksaan yang ternyata menguji tahap kecerdasan minta intelek pelajar, dan bukannya penilaian yang holistik yang menguji segenap aspek. Buktinya, benarlah pendedahan yang dikeluarkan dalam artikel sebelum ini bahawa nisbah akademik dan kokurikulum hanya 90:10 sahaja.

Persoalannya, mengapa hal ini dibiarkan berlarutan agak lama sehingga para pelajar kita sendiri dijadikan bahan ujikaji dan bahan eksperimen yang belum tentu berjaya terhadap sistem-sistem yang pelbagai rupa?

Sudah tiba masaya kandungan falsafah ini dikaji dan diteliti semula oleh para ilmuan dan ahli-ahli akademik. Sudah tiba masanya untuk menghentikan segala macam retorik yang berkepentingan peribadi. Sudah tiba masanya juga para pendidik dan mahasiswa diberi peluang dan ruang untuk bersuara dan melontarkan pendapat sebagai generasi muda yang bersama-sama terlibat dalam sistem pendidikan ini.

Jangan pula suara orang muda seperti kami dihalang dek kerana berlainan ideologi partisan mahupun berlainan mazhab pendidikan. Sebaliknya, para ilmuan, pendidik, mahasiswa dan golongan muda harus diberi peluang yang luas untuk bersama-sama mencorakkan dimensi serta warna-warna pendidikan supaya terus diyakini dan bukannya diragui.

Secara peribadi, saya sangat tertarik dengan falsafah Pendidikan Cinta yang mula dipelopori dan diperkenalkan oleh gerakan anak muda yang memfokuskan pendidikan. Falsafah dan idea ini lahir hasil pemikiran kritis Anas Alam Faizli dalam artikelnya http://aafaizli.com/cinta-sebagai-pedagogi-dan-falsafah-pendidikan-negara/ serta segolongan generasi muda Teach For The Needs (TFTN) yang mempunyai hasrat dan keinginan yang sangat tinggi untuk melihat mobiliti pendidikan diberikan secara saksama kepada semua murid corot, anak-anak yatim dan miskin. 

Mereka telah menganjurkan Forum Pendidikan Cinta membahaskan isu pendidikan serta akan mengadakan Konvensyen bertemakan Pendidikan Cinta pada 21 Disember 2013 tahun ini. Pendidikan Cinta yang menekankan rasa kasih dan sayang dan menganggap golongan pelajar yang ketinggalan di belakang ini yang perlu dibantu dan diberi dorongan dan bimbingan yang sepatutnya.

Tanpa cinta, kita tidak akan mampu memberi cinta. Rasa cinta dan kasih akan hadir jika kita menganggap semua makhluk Tuhan yang Maha Kaya ini sebagai sama di sisi semua masyarakat kita.

Falsafah pendidikan berasaskan cinta ini bukanlah mengajar anak-anak kecil untuk bercinta, tetapi cinta yang diungkap di sini bermaksud kasih dan sayang kepada tiga golongan yang saya sebutkan sebelum ini tanpa perlu disisihkan dalam masyarakat. Mengajak mereka ‘bercinta’ dengan ilmu adalah sebesar-besar tanggungjawab sebagai seorang ahli pendidik, masyarakat, khususnya mahasiswa dan mahasiswi.

Lihatlah bagaimana anak-anak yang tidak bersemangat ke sekolah. Renungilah bagaimana anak-anak yang tidak bersemangat untuk belajar, apatah lagi meneroka ilmu-ilmu baharu. Lihatlah riak wajah mereka apabila diminta menyiapkan kerja-kerja tambahan dan latihan dan sebagainya yang dianggap sebagai suatu ‘beban’ yang maha dahsyat buat mereka! Kenapa hal ini berlaku?

Jawapannya mudah, kerana mereka tidak diajak dan tidak didorong untuk bercinta dengan ilmu dan tidak pula diajar untuk mencintai ilmu setulusnya. Penekanan pihak sekolah yang ingin menjaga status dan pencapaian semata-mata membuatkan mereka sangat tertekan mendepani hidup sebagai seorang pelajar.

Hidup sebagai seorang pelajar bagaikan masa terburuk buat mereka yang terlalu ditekan itu dan ini. Kehidupan sebagai pelajar tidak lebih daripada menyiapkan kerja rumah saban hari dan saban minggu. Mereka dipaksa menyiapkan kerja sekolah yang bertimbun, tetapi mereka tidak diajar untuk bercinta dengan ilmu yang mereka peroleh.

Inilah ‘penyakit’ sebenar kemerosotan sistem pendidikan kita saban tahun. Ilmu yang diperoleh semata-mata untuk peperiksaan tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Ya, mereka perlu dijar bercinta! Mereka perlu diajar apa itu nikmat bercinta dengan ilmu. Kerana dengan ilmulah, mereka akan diangkat dan dihormati dalam rencam hidup yang semakin menggila ini! Maka tidak hairanlah apabila didedahkan kepada kita, murid-murid mahupun mahasiswa kita sendiri terlalu lemah ‘softskills’ dan kurang daya tahan. Tidak hairan juga apabila dikata pelajar kita kaya akademik, tetapi ‘they are zero’.

Mahasiswa dan Tanggungjawab Sosial

Tanggungjawab kita semua sebagai pelapis kepimpinan negara bukannya terletak kepada nilai CGPA setiap kali peperiksaan. Nilai dan rasa kita sebagai pemimpin generasi muda bukanlah terhenti setakat novel-novel cinta yang dibaca dan dikhatam entah kali yang keberapa. Tetapi maksud sebenar MAHASISWA itu merentasi sempadan sosial.

Tanggungjawab mahasiswa bukan hanya sekadar mengingat fakta-fakta di dalam buku akademik semata-mata, tetapi penglibatan kita dengan situasi sebenar di alam reality itulah yang mampu membentuk diri kita menjadi seorang mahasiswa yang berguna dan berjasa.

Mahasiswa perlu lebih kerap turun padang dan bersama-sama anggota masyarakat dalam menyelami kemelut hidup antara komuniti.

Contoh mudah, lihatlah dan pandanglah wajah-wajah anak-anak yatim dan miskin, berdampinglah dengan mereka dan lihatlah bagaimana tahap capaian mereka dalam pendidikan yang serba kekurangan. Lihatlah dan renungilah wajah-wajah insan ini dikala kita semua masih berada dalam limpahan nikmat dan rezeki, mereka pula berhempas pulas berkerah keringat untuk kelangsungan hidup.

Tanggungjawab mahasiswa bukan sekadar hebat dan petah bicara di dewan kuliah mahupun dalam sesi tutorial semata-mata, tetapi menyelami dan merasai hidup sebagai sebahagian ahli komuniti itulah yang perlu diasah dan dipupuk. Mahasiswa akan sentiasa bermimpi dan terus bermimpi selagi tidak merasai pengalaman yang berlainan dengan kebiasaan hidup mereka sehari-hari.

Agak memalukan apabila melihat segelintir mahasiswa mahupun bakal guru masih ‘bermimpi’ yang enak ketika segolongan yang lain telah lantang berhujah soal ekonomi, pendidikan, masa depan dan berdiskusi mencari konklusi kepada kemelut yang semakin gila.

Agak memalukan mahasiswa dan bakal guru masih lagi berangan-angan dan masih berkirim ‘ucapan’ dikala rakan-rakan seangkatan yang lain telah selangkah dihadapan meninggalkan mereka untuk survival hidup masa muka.

Agak memalukan juga apabila mahasiswa masih lagi bercakap soal mencari ‘bakal imam’ dan ‘bakal makmum’ yang entah apa-apa.

Agak memalukan mahasiswa dan bakal guru yang masih tidak sedar akan beratnya tanggungjawab yang ada di atas jemala mereka.

Agak memalukan juga apabila mahasiswa masih lagi berlumba-lumba bercakap pasal ‘bonggol’ yang tinggi atau sang donut Book Of Records.

Adakah ini mahasiswa yang akan meneraju negara masa muka? Adakah ini orang-orang yang akan berhujah ekonomi di zaman kemelesatan dan adakah ini orang-orang yang boleh diharapkan berhujah soal banyaknya ketirisan di zaman inflasi yang semakin memuncak?

Ayuh mahasiswa! Ayuh mahasiswi! Buktikan anda salah seorang yang akan memimpin negara dan anak-anak watan dengan idea-idea anda dan bukannya dengan omonga kosong picisan di facebook mahupun twitter!

Sebuah Mimpi Rentas Realiti

Benar, bermimpi tidak salah. Benar, bermimpi tidak menyalahi fitrah kita sebagai manusia yang marjinal lagi kerdil. Benar, hanya orang gila dan tidak waras sahaja yang tidak mempunyai mimpi. Kenapa? Kerana dengan mimpi, akan lahirnya fantasi dan realiti.

Dengan mimpi jugalah, segala macam perkara yang luar biasa yang tidak pernah dijangka dapat dizahirkan melalui perbuatan yang maujud.

Jadikanlah segala mimpi kita realiti. Jadikanlah segenap fantasi yang kita lakarkan demi masa depan dan hasrat masa muka menjadi zahir di hadapan setiap mata yang melihat.

Janganlah pula kita menjadi hamba kepada dua penyakit yang biasa kita dengar; Pandirisme dan Bebalisme. Mahasiswa dan bakal guru bukan dilahirkan untuk menjadi Pak Pandir Moden. Mahasiswa juga bukannya dilahirkan untuk bebal dengan segala rencam dan Pak Turut dan Pak Angguk kepada segala macam kegilaan zaman melinium.

Buktikanlah diri kita sebahagain yang merasa perit dan derita sebahagian masyarakat yang lain. Infakkanlah diri kita kepada masyarakat di luar sana dan wakafkanlah diri kita sebagai wakaf yang berguna untuk masa hadapan anak-anak watan yang tercinta! Kerana sebaik-baik mimpi, adalah mimpi yang menjadi realiti..

*Ahmad Syafiq Amir merupakan penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia dan juga sukarelawan Teach For The Needs.



Comments
Loading...