PAS tak akan kembang tanpa PR – Kit Siang


(TMT) – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang setuju dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di mana dalam ucapan penggulungan beliau menyatakan bahawa PAS tidak akan berkembang ke luar daripada pantai timur Semenanjung jika parti itu tidak menyertai Pakatan Rakyat (PR), bersama PKR dan DAP.

Secara tidak langsung Kit Siang mengatakan bahawa Pas tidak akan dapat menawan negeri lain tanpa bantuan daripada Pakatan.

Dalam laman blog rasmi beliau, Kit Siang turut menyokong kata-kata Mat Sabu, iaitu kalau PAS berjuang secara bersendirian, sudah tentu PAS tidak lebih menguasai hanya daripada Rantau Panjang (utara Kelantan) sehingga ke Kemaman (Terengganu), tetapi di bawah PR, kawasan yang ditaklukinya melebar sehingga ke Selangor dan mungkin sampai ke Johor.

Pada waktu yang sama, Kit Siang mengucapkan tahniah kepada pimpinan dan perwakilan PAS di atas kejayaan melaksanakan Muktamar ke-59 peringkat kebangsaan dengan lancar sehingga menggagalkan usaha keras penyusun konspirasi UMNO menerusi media sosial di ruang siber untuk mewujudkan perseteruan dan perpecahan dalam PAS dan menghancurkan kerjasama dan matlamat Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, muktamar yang baru selesai dengan jayanya itu memberi harapan kepada majoriti rakyat Malaysia yang percaya bahawa politik dua pakatan di Malaysia masih hidup dan bertenaga.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dengan menganggotai PR, PAS berjaya melangkah melampaui empat negeri terasnya.

“Kegagalan PAS di Kedah pada 2013 tidak boleh dikaitkan dengan penyertaan PAS dalam PR, sebaliknya kerana faktor dalaman. Penjelasan yang sama boleh dikemukakan untuk memahami kemerosotan sokongan PAS di Kelantan.

“Jika sokongan terhadap PAS di negeri utama Melayu terjejas kerana keanggotaannya dalam PR, sudah tentu pencapaiannya di Terengganu tidak akan meningkat.

“Jelas bahawa pertambahan penduduk secara pesat di Semenanjung akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Di negeri inilah kita akan melihat adanya peningkatan jumlah kerusi (Parlimen dan DUN). Kebanyakan kerusi baru ini daripada segi kaum adalah kerusi ‘campuran’,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, jika PAS mahu terus berkembang di luar empat negeri utara, ia perlu bekerjasama dalam konteks PR untuk meningkatkan sokongan Melayu dan juga bukan-Melayu. Di negeri utara, PAS perlu memperkukuhkan diri dan PR di peringkat dalaman.

Menurutnya, satu lagi cara untuk meneliti prestasi PAS berdasarkan negeri ialah dengan menganalisa peratusan undi yang diraih PAS di kerusi yang ditandinginya di setiap negeri.

Kit Siang berkata, keanggotaan PAS dalam PR jelas membantu parti itu memenangi dua kerusi Parlimen baru pada 2013, kerusi yang tidak mungkin dimenanginya tanpa sokongan PR.

Contohnya, katanya, di Temerloh, kerusi Parlimen yang mempunyai 63% pengundi Melayu, 26% Cina, dan 9% India, PAS telah menang dengan majoriti 1,070 undi berkat sokongan kuat daripada 35% pengundi bukan-Melayu dalam kawasan itu.

“Di Sepang, kerusi yang mempunyai 59% Melayu, 23% Cina, 18% India pula, PAS menang dengan majoriti 1,142 undi menentang seorang bekas menteri UMNO dengan sokongan kuat 41% pengundi bukan-Melayu dalam kawasan berkenaan.

“Jika PAS hendak merebut kembali kerusi Sungai Besar (34% bukan-Melayu), Kuala Selangor (36% bukan-Melayu) dan Titiwangsa (32% bukan-Melayu) yang dipegangnya dulu, ia mesti memanfaatkan kekuatan jenama dan kerjasama dalam PR.

“Bukan setakat PAS mendapat faedah daripada kerjasama dalam PR kerana perkara yang sama juga dialami DAP dan PKR.

“Tidak diragui lagi bahawa dengan membentuk pakatan, setiap satu daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR, dan PAS berjaya merebut lebih banyak kerusi Parlimen dan negeri berbanding jika setiap parti itu bertanding secara bersendirian, dan dengan kerjasama itu juga mereka mampu meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi di seluruh negara,” katanya.

Menurut Kit Siang, perkara terpenting bagi PR kini ialah untuk membentuk majlis strategik peringkat tertinggi untuk menyusun rancangan merampas kerajaan Pusat dan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang, selain mencatat keputusan terbaik untuk PR di setiap negeri.

 



Comments
Loading...